Pada persidangan Dewan Rakyat yang berakhir Khamis lalu, kerajaan baharu PH telah berjaya mengukir sejarah dalam politik Malaysia apabila Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perkara 119(1)(a) Perlembagaan Persekutuan 2019 untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun berjaya diluluskan dengan mendapat lebih daripada 2/3 undi majoriti.

RUU pindaan Perkara 119(1)(a) Perlembagaan Persekutuan 2019 itu pada awalnya telah dibentang dan ditarik balik bagi memperhalusi terma-terma yang perlu diselaraskan dan dibentang semula pada persidangan Dewan Rakyat pada khamis lepas. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan itu dibuat bagi memasukkan cadangan pindaan berhubung pendaftaran pemilih secara automatik dan menurunkan had umur calon pilihan raya.

RUU bagi menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun dengan beberapa elemen seperti pendaftaran automatik dan kelayakan calon pilihan raya kepada 18 tahun dibentangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas selesai sesi soal jawab lisan.

Untuk rekod, seramai 60 ahli parlimen turut serta dalam perbahasan sebelum RUU itu diluluskan dengan lebih daripada 2/3 undi majoriti. Seramai 211/222 orang ahli parlimen telah mengukir sejarah dengan meluluskan RUU tersebut. Kini politik Malaysia menongkah selangkah dengan lulusnya RUU ini bakal memberikan impak dalam arus politik negara terutama pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

Kelulusan Pindahan

Malahan, terdapat pelbagai pandangan berkenaan dengan kelulusan RUU itu terutama dalam kalangan ahli parlimen serta penganalisis politik tempatan. Mengambil contoh kenyataan Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi dalam sebuah media cetak iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengatakan bahawa kepemimpinan Perdana Menteri mendapat sokongan padu dan tidak berbelah bahagi melalui kelulusan pindaan Perlembagaan yang menurunkan had usia mengundi pilihan raya daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

“Kelulusan pindaan itu mencerminkan kemajuan Malaysia menuju demokrasi yang matang dan sokongan padu terhadap Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Azmin, pindaan Perkara 119(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang diterima dengan sebulat suara oleh semua Ahli Parlimen yang hadir menandakan sokongan semua pihak terhadap usaha kerajaan untuk melaksanakan reformasi institusi di bawah pentadbiran Malaysia Baharu.

“Kejayaan tersebut merupakan satu mercu tanda dalam sejarah perlembagaan khususnya bagi golongan muda kerana mereka berupaya untuk memilih wakil rakyat dan mengangkat tanggungjawab sebagai rakan kongsi pembina bangsa bersama anak watan yang lain,” jelasnya.

Persoalannya, sejauh manakah ruang dan peluang akan diberikan kepada anak-anak muda ini dalam politik? Adakah anak muda ini sudah bersedia dan memahami maksud serta tanggungjawab dalam arena politik? Perkara ini perlu dikupas sebaik-baiknya sebelum menjemput anak-anak muda ini untuk berpolitik. Ya, mereka sudah matang, tetapi adakah mereka sudah matang dalam politik?

Pendekatan Interaktif

Pendekatan atau mekanisma yang tepat harus digunakan untuk mendidik serta mendedahkan ilmu berkaitan ilmu dalam politik atau demokrasi. Kerajaan harus merangka tindakan dalam mendidik anak muda seawal umur 15 atau 16 tahun berkaitan dengan ilmu dalam politik atau demokrasi ini. Jangan hanya dilihat seperti peribahasa ‘hanya melepaskan batuk di tangga’ sahaja dalam membuat pindaan RUU ini. Ia harus disusuli dngan tindakan pragmatik serta dinamik bagi mendidik anak muda ini. Sistem pendidikan memainkan peranan penting dalam mendidik anak muda ini sebelum mereka mencecah umur 18 tahun.

Kementerian pendidikan harus mengemukakan satu mata pelajaran baharu yang wajib diambil oleh pelajar di sekolah iaitu di luar masa sekolah yang hanya khas untuk memberi pendidikan kepada pelajar berkaitan dengan ilmu dalam politik atau demokrasi sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Pendekatan interaktif serta menarik harus diambil kira agar dapat menarik minat serta pemahaman pelajar dalam mata pelajaran tersebut. Integriti dalam politik harus ditekankan agar

langkah politik generasi atau anak muda ini berada pada landasan yang betul. Kita tidak ingin politik kita terus dihantui dengan politik salah guna kuasa, fitnah, kotor dan jijik seperti yang berlaku dalam negara kita kini. Perkara seperti ini boleh menyebabkan anak muda menjarakkan diri daripada politik kerana jemu dengan dinamika politik kebejatan seperti ini.

Malahan, badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta parti politik harus memainkan peranan dalam mendidik anak muda berkaitan dengan ilmu politik atau demokrasi. Tidak dinafikan peranan NGO dan parti politik amat penting dalam mobilisasi anak muda agar mereka minat serta memahami erti politik dan demokrasi sebenar melalui program-program yang perlu dilakukan. Kini, penglibatan anak muda dalam politik merupakan tanggungjawab NGO dan parti politik untuk menarik minat mereka turut serta dalam program pendidikan.

Tanggungjawab Pemimpin

NGO dan parti politik harus mengadakan outreach program terutama di luar bandar dengan anak-anak muda bagi memberi pendedahan serta mendidik mereka berkaitan ilmu politik serta demokrasi. Jangan bertindak ‘memperkudakan’ anak muda ini hanya untuk kepentingan parti politik masing-masing. Pendidikan berkaitan dengan ilmu politik dan demokrasi harus diutamakan apabila menjalankan program-program dengan anak-anak muda ini.

Justeru, tanggungjawab pemimpin adalah untuk memastikan penglibatan anak-anak muda dalam proses membina negara bangsa yang progresif serta berdaya saing dalam menempuh era globalisasi. Ilmu serta pendedahan kepada sistem politik atau demokrasi serta pentadbiran negara amat penting kepada anak-anak muda ini demi kelestarian kepimpinan yang memastikan negara kita terus utuh dan dipandang tinggi oleh negara lain. Perkasakan anak-anak muda ini agar mereka dapat merasakan yang mereka turut penting dalam menyumbang kepada pembangunan negara.

Kini, pentas telah dibuka kepada anak-anak muda yang bakal serta berumur 18 tahun dalam sistem politik negara. Sebagai anak muda yang bakal serta berusia 18 tahun, anda harus menghargai peluang yang diberikan oleh kerajaan untuk menyumbang kepada pembangunan negara dengan melibatkan diri dalam sistem demokrasi negara. Adakah anak-anak muda telah bersedia? Persoalan ini perlu difikirkan.

• Penulis merupakan pensyarah dalam bidang sains politik di Unimas.