TEHRAN: Pihak berkuasa Iran pada Isnin memaklumkan bahawa agensi keselamatan negara itu telah menangkap 17 suspek dan menjatuhkan hukuman mati ke atas sebilangan daripada mereka selepas menumpaskan rangkaian pengintip CIA bulan lepas.

Agensi terbabit berjaya menumpaskan rangkaian pengintip (CIA), menurut ketua risikan di Kementerian Perisikan Iran, yang identitinya tidak didedahkan, kepada wartawan di Tehran.

“Mereka yang sengaja mengkhianati negara telah diserahkan kepada badan kehakiman, ada yang dijatuhi hukuman mati dan ada yang dipenjarakan untuk tempoh yang lama,” tambahnya.

Pengumuman tentang penangkapan dan hukuman mati itu dibuat ketika ketegangan antara Amerika Syarikat(AS) dan Iran meningkat selepas AS menarik diri secara unilateral dari perjanjian nuklear 2015 dan mengenakan semula sekatan ekonomi ke atas republik Islam itu.

“Suspek telah bekerja di pusat sensitif dan kritikal serta sektor swasta yang berkaitan dengan mereka, bekerja sebagai kontraktor atau konsultan,” kata pegawai itu.

Seramai 17 suspek telah dikenal pasti, kesemua mereka warga Iran yang bertindak secara bebas.

Sebahagian daripada mereka telah direkrut apabila terjerat dalam “perangkap visa” dibuat oleh Agensi perisikan Pusat (CIA) AS untuk warga Iran yang melakukan perjalanan ke AS.

Bulan lepas Iran berkata bahawa, ia berjaya menumpas rangkaian pengintip dikaitkan dengan CIA.

“Berikutan perkhidmatan perisikan Amerika, kami baru-baru ini menemui rekrut baharu yang diambil oleh Amerika dan telah menumpaskan rangkaian itu,” lapor agensi berita IRNA pada masa itu, mengutip seorang pegawai kementerian perisikan.

IRNA berkata, republik Islam telah menjalankan operasi dengan kerjasama “sekutu asing”, tanpa menamakan mana-mana negara. -AFP