KUCHING: Seorang peniaga buah-buahan patah gigi, cedera di tangan, muka dan mata serta hilang wang hasil jualannya selepas disamun empat lelaki.

Dalam kejadian sekitar jam 9.30 malam pada 21 Julai lalu, mangsa yang berusia 55 tahun disamun di tempatnya berniaga iaitu di tepi jalan berdekatan tokong Tua Pek Kong, Sungai Apong di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata semasa kejadian, mangsa seorang diri dan hendak berkemas untuk pulang.

Katanya dia kemudian didatangi keempat-empat suspek menaiki dua buah motosikal jenis Modenas Kriss dan terus menumbuk serta memukulnya dengan kayu.

“Salah seorang daripada suspek telah meragut rantai leher emas milik pengadu dan wang tunainya juga diambil.

“Mangsa dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM2,250,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Awang Din berkata mangsa sudah berniaga di kawasan itu sejak tiga tahun lalu dan tidak pernah diganggu atau dimarahi oleh mana-mana pihak.

Justeru, katanya usaha mengesan semua suspek masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.