KUCHING: Ketua Pegawai Operasi Acara Perniagaan Sarawak (BESarawak) Amelia Roziman, anak jati Sarawak, antara dua pemenang dari seluruh dunia yang dianugerahkan biasiswa wanita berprestij European School of Management and Technology (ESMT) di Berlin untuk Program Transisi Eksekutif (ETP).

Anak kelahiran Kuching, Amelia, 40, dari suku kaum Bidayuh, akan mengambil bahagian dalam ETP pada November tahun ini.

“Saya percaya pemimpin muda wanita mempunyai kuasa untuk memberi pengaruh yang luar biasa, tanpa mengira peranannya, dalam mengekalkan hubungan perniagaan yang menguntungkan dalam persekitaran yang tersusun sambil menyesuaikan diri dengan perubahan dalam jangkaan pasaran.

“Saya ingin melakukan peranan saya dalam anjakan paradigma yang akan menggerakkan masyarakat ke arah moral yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan BESarawak di sini, semalam.

Beliau berkata, matlamat jangka panjangnya merangkumi meluaskan capaian organisasi dan konsep sosio-ekonomi utama di Sarawak dan akhirnya menjangkau halangan negara, dengan menjadi pengaruh acara perniagaan global yang memberi fokus kepada nilai kewanitaan dan kesan pelancongan.

“Disebabkan konsep acara perniagaan yang agak baharu di bawah payung pelancongan Malaysia yang lebih besar, para pemain industri tempatan dan kakitangan utama tidak menyedari manfaatnya; apatah lagi bagaimana wanita boleh membantu menaikkannya ke tahap yang lebih tinggi,” tambahnya.

Menurut kenyataan itu, ETP adalah diploma pascasiswazah dalam pengurusan lanjutan, sijil peringkat universiti yang dianugerahkan oleh ESMT Berlin akan membolehkan graduan untuk memperoleh sijil kecemerlangan dalam Perniagaan Global yang diperakui oleh rangkaian global untuk pengurusan lanjutan (GNAM).

Ini adalah kerjasama antara pusat pengajian perniagaan siswazah terkemuka di 25 negara di lima benua.

Penyertaan Amelia adalah teladan untuk pembangunan tenaga kerja di organisasi Sarawak dan setanding dengan organisasi antarabangsa yang mengambil bahagian pada masa lepas seperti Bayer, Deutsche Bank, Amnesty International, Siemens, Air Canada dan Thyssenkrupp.– BERNAMA