KUCHING: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak berjaya menggagalkan rantaian pengedaran gula-gula berasap dikenali ‘Ghost Smoke’ di negeri ini.

Timbalan Pengarah selaku Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sarawak, Mohd Hanizam Kechik berkata ia hasil daripada rampasan yang dibuat daripada sebuah gudang di SMI Industrial Park, Demak Laut yang dipercayai pemborong utama produk berkenaan.

“Hari ini kami menyerbu sebuah premis pemborong terbesar di Sarawak dan merampas 792 kotak gula-gula berasap ini. Sekotak mengandungi 24 paket.

“Bekalan produk ini diperolehi mereka dari Semenanjung pada tiga atau empat bulan lepas,” katanya pada sidang media di ibu pejabat KPDNHEP Sarawak di sini, hari ini.

Menurut Mohd Hanizam, rampasan tersebut adalah yang kedua selepas pihaknya merampas sebanyak 14 kotak gula-gula berasap itu dari sebuah premis di Jalan Datuk Tawi Sli, di sini semalam.

“Sejumlah 1,128 paket dirampas dari kedua-dua kes ini, dengan anggaran nilai RM336,” katanya sambil menambah harga runcit bagi sepaket gula-gula itu adalah kira-kira 70 sen.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya sudah melakukan pemeriksaan ke atas 110 buah premis di seluruh Sarawak, dalam tempoh tiga hari ini.

Mohd Hanizam (duduk, tengah) bersama pegawai penguatkuasa KPDNHEP Sarawak menunjukka rampasan gula-gula berasap dikenali ‘Ghost Smoke’ pada sidang media di ibu pejabat KPDNHEP Sarawak di sini, hari ini.