PADAWAN: Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan dalam dua kes penipuan berasingan yang berlaku di sekitar daerah ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Merbin Lisa berkata individu terbabit bernama Gilbert Ahnyan, 37, beralamat di No.22, Kampung Merang Baru, Jalan Kuching – Serian.

Katanya siasatan pertama adalah di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, di mana pada 7 November 2018, BSJK IPD Padawan telah menerima satu laporan mengenai kes penipuan jual beli kereta yang berlaku pada 12 Mei 2018.

Menurut Merbin, mangsa adalah seorang wanita warga asing berumur 38 tahun yang mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM8,000 di mana serahan berlaku di sebuah kedai makan di Pekan Siburan.

“Modus operandi adalah dengan menawarkan diri untuk mendapatkan sebuah kereta kepada mangsa.

“Penama meminta mangsa membayar wang deposit bagi memudahkan urusan kereta supaya dapat dikeluarkan dengan segera tetapi setelah mangsa membayar wang seperti diminta, penama terus menghilangkan diri,” katanya pada sidang media di ibu pejabat IPD Padawan, hari ini.

Manakala kes kedua, katanya juga melibatkan penipuan jual beli kereta di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, di mana laporan diterima pada 5 Ogos 2018.

Merbin berkata mangsa adalah seorang wanita tempatan berumur 48 tahun, dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM3,000 dan serahan berlaku di rumah mangsa di Kota Sentosa.

Katanya modus operandi penama adalah dengan menawarkan diri untuk menjual kereka kepada mangsa dan meminta mangsa membayar wang melalui serahan tunai bagi membayar harga kereta.

“Setelah mangsa membayar wang kepada penama, dia terus menghilangkan diri,” katanya.

Justeru, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penama supaya menghubungi Inspektor Douglas Suai di talian 019-8129892 atau Sarjan Ranggie (013-8338041).