SARIKEI: Penduduk Parit Bugis menzahirkan rasa syukur dan gembira apabila Kerajaan Sarawak membina tambak tebing sungai atau ban bagi mengelak banjir yang menjadi ancaman besar terhadap tanaman mereka.

Seorang penduduk, Ct Zaza melalui laman sosial facebooknya berkata, pembinaan projek itu melegakan penduduk Parit Bugis yang sebahagian besarnya bergantung hidup dengan hasil pertanian.

Katanya, projek membesarkan parit dan pembinaan pintu air itu amat diperlukan kerana dapat mengatasi dan menghalang kemasukan air masin sehingga merosakkan tanaman yang menjadi mata pencarian utama mereka.

“Projek ini salah satu janji Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh ketika melawat kampung kami Mac lalu. Janji itu akhirnya tertunai dan ban yang kami nanti-nantikan telahpun siap sepenuhnya.

“Jutaan terima kasih sekali lagi kepada Yb (Yang Berhormat) kerana prihatin permasalahan kami, terima kasih juga kepada Jabatan Pengaliran dan Saliran Sarikei,” katanya.

Ban yang memberi manfaat besar kepada petani di Parit Bugis siap dibina oleh Kerajaan Sarawak.

Pada masa yang sama, luahan hati beliau turut mendapat reaksi positif dan sokongan netizen selepas dikongsikan oleh laman Lembah Rajang sejak beberapa hari lalu.

Sehubungan itu, Huzaimah Arbi dalam komennya berkata; Alhamdulilah, semoga warga Kampung Parit Bugis akan menikmati kemudahan yang diberi… dan kita sama-sama memberi sokongan kepada wakil rakyat kita.

Menurut, Mohd Shahrulnizam Sazali pula; Terima kasih dengan Yb yang perihatin dengan Kampung Parit Bugis tuk, jangan berhenti setakat tok ajak, teruskan dan majukan agik kampung tuk… walaupun insfrastrukturnya seberapa… terima kasih Yb.

Dalam pada itu, Len Talif yang juga Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar berkata, kawasan terletak di seberang Sarikei berkenaan mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai kawasan pertanian baharu di wilayah tengah Sarawak.

“Parit Bugis pernah menjadi pengeluar utama buah nanas dan kopi 20 tahun lalu. Justeru, saya yakin potensinya terus menyerlah jika disokong dengan suntikan kewangan kerajaan dalam bentuk baikpulih infrastruktur seperti jalan raya,sistem perparitan dan lain-lain lagi.

Beliau berkata, Parit Bugis terletak di atas sebuah pulau besar. Selain Parit Bugis, di sini juga ada Muara Payang dan Bukit Huang yang masing-masing dihuni Melayu- Bugis, Iban, Cina, Bidayuh dan Melanau.

“Terdapat Sekolah Kebangsaan (SK) Muara Payang dan sembilan buah rumah panjang. Daripada jumlah itu, lima terletak di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.41 Kuala Rajang manakala selebihnya Dewan Undangan Negeri(DUN) N42 Semop.

“Saya faham masalah dan keresahan penduduk di sini dan sedaya-upaya mencari jalan penyelesaiannya,” jelasnya.