SARIKEI: Seorang lelaki yang hilang sejak dua minggu lalu selepas keluar dari rumah panjangnya di Ulu Nunggang Pakan, ditemui selamat hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, Bunjai Sagang, 53, dijumpai kira-kira 12.30 tengah hari oleh penduduk rumah panjang di dalam kebun lada tidak jauh dari Rumah Christina Kasun.

Ketika dijumpai katanya, mangsa dalam keadaan lemah dan kelaparan sebelum dikejarkan ke Klinik Pakan untuk rawatan susulan.

“Dia ditemui terbaring dan sempat meminta makanan daripada penduduk yang kebetulan dalam perjalanan ke kebun. Penemuan itu kemudiannya dimaklumkan kepada pihak Bomba. Kita difahamkan, mangsa bertahan hidup dengan hanya minum air sungai,” katanya kepada wartawan.

Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR), Bunjai menemui jalan buntu apabila lelaki itu gagal dikesan sehingga 19 Julai lalu.

Selain Bomba, Ops SAR turut disertai Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahan Awam (APM) dan penduduk tempatan.

Dia yang dipercayai mengalami masalah kesihatan mental dan gaut dilaporkan hilang oleh keluarganya di Balai Polis Julau.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada 7.55 pagi 11 Julai lalu sebelum melancarkan Ops SAR. Bunjai kali terakhir dilihat keluar rumah hanya berseluar pendek dan tidak berbaju, ” jelasnya.

Nicholas (kiri) sempat melawat Bunjai di Klinik Kesihatan Pakan.