MAKKAH: Kegigihan warga emas Che Lat Yaacob, 75, atau mesra dengan panggilan ‘Tok Wan’ dan rakannya Abdul Manah Ismail, 69, menabung sejak zaman mudanya wajar dicontohi terutamanya generasi muda di Tanah Air.

Beliau yang berasal dari Kuala Nerang, Kedah menceritakan dirinya tidak mempunyai latar belakang sekolah tinggi dan menyara hidup sebagai penoreh getah selain membuat kerja kampung, namun disiplin menyimpan dalam Lembaga Tabung Haji (TH) dikekalkan sehingga bergelar warga emas.

“Toreh getah pendapatan tidak tentu dahulu harga elok RM4 lebih (sekilogram) tetapi sekarang tinggal RM2 lebih saja, tetapi pakcik dan makcik (isteri) simpan sikit-sikit walau berapa dapat (hasilnya). Orang kata sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

“Semangat untuk kerjakan haji sejak daripada masa muda lagi, itu pakcik kumpul dari muda lagi. Bagus juga kalau orang muda mula kumpul dan daftar haji awal-awal, insya-Allah boleh pergi awal,” katanya ketika ditemui pemberita di bilik penginapannya di Bakkah Al-Salah di sini.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan Rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.

Ditanya tentang pengalaman berada di Tanah Suci, Che Lat berkata perasaan seronok bercampur syukur dirasa dalam hatinya terutamanya ketika berpeluang beribadah di Masjidil Haram.

Abdul Manah rakan sebilik Che Lat juga dari Kuala Nerang, turut berusaha menabung untuk mengerjakan haji dengan menyimpan pendapatannya hasil menoreh getah dan membuat kerja-kerja kampung.

Katanya menjadi duyufurrahman atau tetamu Allah bukan hanya berkisar tentang menabung wang semata-mata, sebaliknya beliau juga Che Lat sependapat bahawa doa memohon kepada Allah agar dijemput menjadi tetamu-Nya adalah yang utama.

“Amat bersyukur dijemput menjadi tetamu Allah, dan alhamdulillah Tabung Haji jaga kami baik di sini, makan minum, kesihatan semua dijaga. Anak-anak dan keluarga tidak usah bimbang kami semua di sini,” katanya.-BERNAMA