KOTA SAMARAHAN: Seramai 30 peserta menyertai Kursus Pensijilan Halal siri ketiga tahun ini di Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM Cawangan Sarawak, di sini.

UiTM dalam kenyataan media semalam menyatakan, daripada jumlah itu, lima peserta adalah pengendali industri makanan negeri ini dan tiga pelajar UiTM Shah Alam, dan selebihnya adalah peserta luar.

Kenyataan itu turut menyebut, objektif utama penganjuran kursus itu adalah untuk melahirkan lebih ramai eksekutif halal bertauliah untuk memastikan produk yang dipasarkan mengikut standard ditetapkan Jakim.

Bagi mengendalikan kursus itu, Jabatan Agama Islam menghantar dua pakar bersama-sama dua pensyarah Akademik Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM Sarawak yang diIktiraf Jakim.

Kursus sepuluh hari itu merupakan anjuran Institut Wakaf dan Penyelidikan Halal (IWaH) UiTM Cawangan Sarawak dan JAIS.