KUCHING: Satu operasi khas telah dicadangkan bagi membuang anjing liar yang berada di tempat awam di seluruh negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata, ini perlu susulan insiden di Taman Budaya (Reservoir Park) di sini di mana tujuh orang termasuk seorang budak lelaki berusia lima tahun dari Rh Adeng Semuah di Engkilii, digigit oleh beberapa ekor anjing liar baru-baru ini.

“Ini benar-benar memeranjatkan kami kerana operasi anti anjing liar, yang lepas, turut dijalankan di kawasan berkenaan. Nampaknya anjing liar itu masih ada lagi di sana dan daripada empat anjing yang ditangkap di Taman Budaya itu, seekor positif anjing gila,” katanya selepas mempengerusikan Jawatankuas Pengurusan Bencana Negeri di sini, hari ini.

Oleh itu, beliau berkata, jawatankuasa berkenaan membuat cadangan agar fasa kelima operasi anti anjing gila turut diadakan di daerah Sri Aman, Lubok Antu dan Betong dari 31 Julai hingga 3 Ogos.

“Saya mahu polis mengenalpasti lebih banyak tempat awam seumpama bukan sahaja di Kuching malah bandar besar yang lain untuk kita ambil tindakan,” katanya dan menambah bahawa orang awam juga boleh membantu dengan menyalurkan maklumat.

Uggah mahu polis, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak dan majlis tempatan melihat undang-undang kecil sama ada sebarang tindakan boleh diambil terhadap mereka yang memberi makan kepada anjing liar di tempat yang seumpama.

“Kami bukan menentang perbuatan yang terpuji itu tetapi dengan sekarang ini merebaknya penyakit itu kita perlulah berhenti memberi anjing itu makan, kalau tidak operasi kita akan terjejas,” katanya.

Uggah berkata, sesiapa sahaja yang digigit bukan sahaja oleh anjing tetapi kucing atau monyet perlulah mencuci luka akibat gigitan itu di bawah air mengalir sekurang-kurangnya 10 minit atau lebih.

Selepas itu mereka perlu pergi segera ke hospital yang kemudian akan dirujuk ke Klinik Selepas Gigitan Anjing untuk rawatan lanjut.

“Selepas waktu pejabat pergilah ke Unit Kecemasan hospital dan pegawai perubatan yang bertugas akan tahu rawatannya,” katanya.

Sarawak merekodkan 19 kes anjing gila termasuk 18 kematian sejak wabak itu dikesan. – Bernama