KUCHING: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen menggesa Kerajaan Negeri agar pewartaan istilah Hari Kemerdekaan Sarawak, dipinda memandangkan Kerajaan Negeri turut menjelaskan bahawa 22 Julai bukanlah Hari Kemerdekaan bagi Sarawak.

Katanya, ini menimbulkan kekeliruan sama ada ia Hari Sarawak atau Hari Kemerdekaan Sarawak.

“Penasihat undang-undang dewan undangan negeri, Datuk Seri JC Fong juga mengeluarkan satu kenyataan bahawa 22 Julai bukanlah Hari Kemerdekaan bagi Sarawak.

“Bagaimanapun, pemberitahuan istilah yang diwartakan memanggil hari itu sebagai Hari Kemerdekaan Sarawak,” katanya kepada pemberita di sini selepas menyerahkan sebuah rumah kepada keluarga seorang mangsa letupan CityOne Megamall, Disember lepas, hari ini.

Chong, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, ia suatu akta di mana kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), sebelum ini Barisan Nasional (BN) Sarawak, memutarbelitkan sejarah hanya untuk menyesuaikannya dengan agenda politiknya.

“Sebagai kerajaan, anda perlu mempunyai satu darjah integriti, apabila ia berkenaan sejarah negara atau sejarah negeri dan tidak boleh memanggil tarikh sejarah itu dengan apa saja nama. Itu benar-benar tidak betul,” katanya.

Semasa penyerahan rumah berkenaan, Chong berkata, Tchee Foh Hin, yang anak lelakinya Kiam Jong adalah antara tiga yang terbunuh semasa letupan CityONE Megamall, adalah pencari nafkah keluarga berkenaan.

“Kami dapati bahawa rumah berkenaan yang didiami Tchee dan keluarga berada dalam keadaan yang amat teruk. Jadi selepas itu kami serahkan kepada Kerajaan Negeri untuk berbincang dan mereka bersetuju untuk memberi sekeping tanah.

“Selain peruntukan daripada MP dan derma swasta, kami kumpulkan wang bagi membina sebuah rumah untuk Tchee dan keluarganya,” kata Chong, yang juga ahli Parlimen Stampin. – Bernama