BINTULU: Tindakan tegas di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 akan diambil terhadap peniaga yang didapati menjual gula-gula Ghost Smoke.

Ketua Cawangan KPDNHEP Bintulu Salihin Den berkata, denda sehingga RM100,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan ke atas individu yang didapati bersalah melakukan kesalahan di bawah akta terbabit.

Manakala, denda sehingga RM250,000 pula boleh dikenakan terhadap syarikat terlibat.

Beliau berkata dalam pemeriksaan yang bermula dari 23 Julai hingga semalam, sejumlah 54 premis di sekitar Bintulu telah diperiksa.

Pemeriksaan, katanya, meliputi pemborong dan peruncit yang menjual makanan ringan di sekitar kawasan sekolah, kedai kampung dan tempat tumpuan awam terutama kanak-kanak.

“Setakat hari ini (semalam), kita tidak menjumpai penjualan gula-gula Ghost Smoke dan kita juga tidak menerima apa-apa aduan penjualan gula-gula ini,” ujarnya pada sidang media mengenai Ghost Smoke di pejabat kementerian berkenaan, di sini semalam.