KUCHING: Unimas menjadi institusi pertama menerima peruntukan dalam bidang penyelidikan tahun ini.

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Dr Annuar Rapaee berkata, Unimas menerima peruntukan tersebut melalui dua peringkat.

“Peringkat pertama, Unimas menerima peruntukan sebanyak RM250,000 dan baki RM250,000 untuk peringkat pertama.

“Ini adalah peruntukan bajet Kerajaan Sarawak sebanyak RM500,000 sehingga RM1.5 juta untuk tujuan penyelidikan,” katanya pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Anugerah InTEXT19 di sebuah hotel terkemuka, di sini semalam.

Tambahnya, Sarawak cuba untuk memberi penekanan terhadap penyelidikan biodiversiti.

“Walaupun ia memakan banyak masa dan wang, namun kerajaan cuba untuk memberi tumpuan kepada biodiversiti.

“Oleh itu, penyelidik juga harus memberi fokus kepada kepelbagaian biodiversiti di Sarawak,” jelasnya.

Ujar Annuar, Kerajaan Sarawak juga memberi penekanan kepada bidang ekonomi digital dan bidang pertanian moden yang menjadi polisi kerajaan kini.

“Kita cuba untuk mempunyai pertanian moden atau dikenali sebagai pertanian pintar.

“Sarawak mempunyai tanah yang luas untuk tujuan tersebut,” katanya lagi.

Namun kata Annuar, perkara tersebut sukar dicapai kerana kurangnya tenaga kerja untuk mengusahakan tanah yang luas.

Adanya pertanian pintar ini, kata Annuar ia mampu mengeluarkan hasil pertanian pintar malah dalam kuantiti yang banyak dan berkualiti tinggi, jelasnya.

“Kerajaan Sarawak komited dan serius dalam mengembangkan bidang penyelidikan ini.

“Saya berharap penyelidik juga dapat membantu komuniti dan ekonomi di negeri ini,” kata Annuar.