KUCHING: Kerajaan Sarawak meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap Kerajaan Persekutuan berhubung isu pendidikan kerana perkara ini menjadi tanggungjawab mereka, kata Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Seri Michael Manyin Jawong.

Mengulas kenyataan Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen baru-baru ini yang mendakwa Kerajaan Sarawak mahu menyalahkan Kerajaan Persekutuan berkaitan isu sekolah daif, beliau berkata perkara itu tidak timbul sama sekali.

“Kerajaan Sarawak telah meletakkan kepercayaan dalam hal pendidikan kepada Kerajaan Persekutuan sejak dahulu lagi.

“Pendidikan adalah di bawah senarai Kerajaan Persekutuan dan mereka bertanggungjawab dalam menjaga hal pendidikan termasuk di Sarawak.

“Kita juga telah meletakkan kepercayaan kepada Kerajaan Persekutuan tidak kira semasa pemerintahan BN atau PH sejak 50 tahun yang lalu,” ujarnya ketika ditemui media selepas Penangguhan Pertandingan Kemahiran KV Skills dan Inovasi Zon Sarawak 2019,di Kolej Vokasional di sini semalam.

Katanya, pada 9 Mei 2017 Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah menubuhkan kementeriannya, dan beliau diberi tanggungjawab untuk mencari sekolah yang tidak lagi berada dalam keadaan baik.

“Kita telah berbincang dengan kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) dan bersetuju untuk meletakkan RM1 bilion untuk tahun 2018 dan 2019,” katanya.

Soal beliau, siapa yang patut dipersalahkan?

“Abang Johari menawarkan perkara tersebut kepada Kerajaan BN dahulu, namun rundingan tetap diteruskan dalam pemerintahan Kerajaan PH kini.

“Jadi pihak kami tidak menyalahkan sesiapa termasuk Kerajaan PH,” tegasnya.

Beliau berkata, Chieng Jen perlu mengotakan seratus peratus janji yang dibuat semasa ketika pilihan raya yang lalu supaya isu seperti ini tidak akan timbul lagi.

“Janjinya, jika PH menang dalam pilihan raya mereka akan memulangkan 50 peratus cukai yang diambil dari Sarawak kepada negeri ini.

“Ia termasuk 20 peratus cukai minyak dan gas serta seratus peratus autonomi untuk pendidikan serta kesihatan,” katanya.