SARIKEI: Tindakan pantas penduduk Rumah Malong Sungai Melaban Sare di sini menyelamatkan kediaman mereka daripada musnah dalam kebakaran, petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Naruddin berkata, kejadian 3.50 petang itu berlaku akibat lintas pintas pada suis kawalan kipas siling di salah sebuah bilik di rumah panjang berkenaan.

“Rumah panjang 16 pintu yang dihuni seramai 110 orang penduduk ini bernasib baik apabila salah seorang penghuninya sempat memadam api dengan menggunakan alat pemadam mudah alih.

“Dalam pada itu, semua penduduknya juga selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, seramai 12 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 3.51 petang.

Suiz terbakar sempat dipadamkan penduduk menggunakan alat APA, menyelamatkan rumah panjang mereka dalam kebakaran di Sungai Melaban Sare.

Sebaik tiba di lokasi katanya, pihaknya memastikan keadaan selamat di samping menghubungi pihak Sesco sebagai tindakan susulan.

“Operasi tamat sepenuhnya pada 5 petang, ”ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap bahaya kebakaran khususnya di rumah panjang.

Ujarnya, kebakaran rumah panjang bukan sahaja mengakibatkan kehilangan nyawa tetapi juga jumlah kerugian harta benda yang besar.

“Selain memberi khidmat kepada penduduk, kami terus berusaha memberi kesedaran kepada orang ramai selain menyedarkan mereka mengenai pentingnya persediaan menghadapi bencana itu selain kerjasama dengan pihak Bomba,” ujarnya.