DARO: Hubungan erat antara ibu bapa dan guru berperanan penting meningkatkan prestasi dan kecemerlangan pelajar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad berkata, ibu bapa perlu bersedia berkerjasama merancang dan melaksanakan program bersama guru.

Malah katanya, permuafakatan antara kedua belah pihak boleh membantu sekolah melaksanakan program yang bermanfaat untuk pelajar.

“Pada masa yang sama, golongan pendidik juga harus meningkatkan kualiti perkhidmatan sejajar dengan perubahan semasa.

“Saya tidak dapat menafikan, kita di kawasan pedalaman juga berdepan dengan pelbagai cabaran berikutan tuntutan masyarakat masyarakat yang semakin tinggi,” katanya pada Majlis Perasmian Penutupan Program Jelekit Kasih anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Pangtray di sini, hari ini.

Safiee bergambar beramai-ramai dengan murid, ibu bapa dan guru SK Pangtray pada Program Jelekit Kasih anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Pangtray di sini, hari ini.

Beliau berkata, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merupakan platform terbaik ibu bapa dan guru bekerjasama, merancang aktiviti dan menyelesaikan sebarang masalah.

Ujarnya, PIBG bukan sekadar penghubung antara sekolah dengan ibu bapa tetapi juga tunjang kekuatan bagi memastikan setiap aktiviti dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Tanggungjawab melonjakkan prestasi pelajar bukan hanya terletak pada bahu pihak sekolah, malah ibu bapa juga memainkan peranan sangat penting,” katanya.

Pada majlis yang sama, beliau menyampaikan sumbangan bernilai RM16,000 untuk membantu beberapa persatuan melaksanakan aktiviti masing-masing.

Hadir sama, Guru Besar SK Pangtray, Buang Maharup, Yang Dipertua PIBG SK Pangtray, Wati Rani dan pemimpin masyarakat

Safiee disambut mesra sebaik hadir pada Program Jelekit Kasih anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Pangtray.

 

Hubungan erat antara pemimpin dan rakyat jelas tergambar.