Atlet Golongan Kelainan Upaya (OKU) harus diberi perhatian sewajarnya terutama dalam aspek kebajikan yang merangkumi elaun, tempat tinggal, makan dan sebagainya.

Atlet para kebangsaan, Julius Jaranding, 33, menuntut pihak yang bertanggungjawab supaya memberi perhatian sewajarnya kepada beliau bagi menghadapi Kejohanan Para Renang Dunia di London September nanti.

Menurutnya, pekara tersebut sudah diluahkan melalui surat 25 Jun 2019 yang dihantar kepada pihak Kementerian Belia Dan Sukan, namun sehingga sekarang isu elaun yang dituntut oleh beliau masih belum terjawab.

Mengikut perjanjian dengan pihak Podium sebelum ini, kata Julius beliau masih sah dan sepatutnya menerima elaun pihak Institut Sukan Negara (ISN) bermula 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2019.

Tuntutan Elaun

Kata Julius, beliau membuat tuntutan elaun kepada pihak bertanggungjawap kerana merasakan tawaran elaun yang diberikan oleh pihak MSN sekarang tidak masuk akal, hanya RM500 sebulan berbanding atlet para yang lain.

“Saya rasakan seolah-olah berlaku ketidakadilan dari segi elaun latihan di sini (Kuching).

“Mungkin MSN beranggapan saya menjalani latihan separuh masa di Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Sarawak.

“Berbeza dengan rakan saya (Jameri Siga) yang menjalani latihan di Sabah, mereka diberi elaun RM4,500 sebulan.

“Sehingga sekarang saya belum menandatangani surat tawaran latihan yang diberikan pihak MSN disebabkan saya tidak bersetuju dengan kadar bayaran yang berbeza-beza,” katanya dengan nada sedih.

Sebagai atlet senior (OKU penglihatan) yang banyak mengharumkan nama negara, saya berasa sangat kecewa seolah-olah kebajikan tidak diambil peduli.

“Memang diakui pada kejohanan Sukan Asean di Jakarta 2018, saya gagal menyumbang pingat, namun dari segi prestasi sangat cemerlang dan melayakkan diri ke Kejohanan Dunia di London.

“Segelintir atlet para mereka diberi elaun lebih tinggi walaupun tidak melayakkan diri menyertai kejohanan dunia.

“Di sini saya rasakan tidak adil, jika prestasi saya tidak baik sudah pasti saya tidak dapat mengikuti program Podium ISN,” katanya.

Untuk pengetahuan, bayaran elaun sepatutnya diterima oleh atlet terpilih ke Program Podium sebelum ini ialah RM6,000 sebulan.

Timbul Kekeliruan

Sebenarnya, pihak MSN telah mengeluarkan dua surat tawaran yang berbeza jumlah bayaran untuk latihan.

Tawaran pertama menyatakan jumlah elaun berjumlah RM2,000 dibayar dan dalam tawaran kedua berjumlah RM500.

“Menurut keputusan mesyuarat MSN yang diberitahu melalui pegawai yang menghubungi saya mereka bersetuju membayar elaun latihan RM4,500.

Oleh itu, saya tidak menandatangani surat tawaran kedua yang mempunyai nilai RM500.

Bagaimanapun, surat tawaran yang pertama untuk melayakkan saya menerima elaun RM2,000, saya perlu menjalani latihan di Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

“Saya tidak setuju berlatih di sana kerana mahu dekat dengan keluarga, tambahan pula kedua orang tua saya tiada penjaga.

“Baru-baru ini, ayah dan ibu terlibat kemalangan pada 16 Jun lalu. “Jadi bukan saya tidak bersyukur dengan bayaran RM500, tetapi mahukan keadilan yang sewajarnya.
“Atas dasar ini, saya mohon

supaya elaun RM6,000 sebulan tersebut dibayar sehingga Disember ini berdasarkan surat tawaran sedia ada dan masih sah untuk tindakan lanjut,” tambah Julius.