KUCHING: Pakatan Harapan (PH) digesa tidak bermain politik dengan isu kewarganegaraan apabila keputusannya dibuat oleh orang politik meskipun ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jafaar berkata demikian ketika mengulas mengenai keputusan KDN tidak meneruskan Jawatankuasa Khas Sarawak berhubung kewarganegaraan di bawah Artikel 15A Perlembagaan Persekutuan.

Wan Junaidi yang merupakan bekas Timbalan Menteri KDN memberitahu, Ketua Setiausaha KDN tidak boleh dipersalahkan dalam hal ini kerana beliau menandatangani surat terbabit atas arahan menteri.

“Keputusan untuk menamatkan Jawatankuasa Khas Sarawak berhubung kewarganegaraan amat tidak wajar kerana ini soal kebajikan bukannya politik.

“Malah, keputusan itu akan memberi impak besar kepada Sarawak apabila semakin ramai golongan terpinggir di negeri sendiri akibat tiada dokumen pengenalan diri,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak semalam.

Menurut Wan Junaidi, isu kewarganegaraan berlaku di seluruh pelosok Sarawak bukannya hanya di bandar.

“Saya tidak mengatakan kerajaan PH Sarawak tidak melakukan tugasan mereka tetapi biar isu ini diserahkan kepada menteri yang bertanggungjawab di negeri ini.

“Menteri terbabit (Fatimah) mempunyai kekuatan anggota un tuk menyelesaikannya di seluruh Sarawak.

“Ini kerana, faktor menyumbang kepada ketiadaan dokumen pengenalan diri ialah ibu bapa tidak mendaftar kelahiran anak mereka dan perkahwinan yang tidak didaftarkan.

“Faktor ketiga ialah lelaki berkahwin di luar Malaysia tetapi tidak didaftarkan kepada pihak Malaysia. Secara tidak langsung anak yang dilahirkan mengikut kewarganegaraan ibunya,” jelasnya.

Tambahnya, faktor keempat ialah pasangan yang berkahwin di luar Malaysia dan melahirkan anak tetapi tidak mendaftarkan kelahiran terbabit di kedutaan Malaysia.

“Ekoran kesilapan yang dilakukan oleh ibu bapa, jangan kita menjadikan anak mereka sebagai mangsa.

“Ini kerana, anak berkenaan akan berdepan pelbagai masalah termasuk tidak layak bersekolah sedangkan dia adalah rakyat Sarawak,” katanya.

Terdahulu, Fatimah melahirkan kekecewaan selepas menerima surat berkenaan daripada KDN.