KUCHING: Keunikan struktur batuan yang terdapat di Gua Pari Pari menjadi tempat persinggahan wajib bagi sebuah kelab penggiat aktiviti lasak rock climbing atau pun panjat tebing, yang dikenali sebagai ‘Monster Climber, pada setiap hujung minggu.

Aktiviti panjat tebing itu sememangnya mencabar dan mempunyai risiko tinggi untuk mengalami kecederaan dan adakalanya memerlukan setiap pemanjat melakukan gaya ala Batman bagi melepasi rintangan yang terdapat di laluan memanjat.

Wakil kelab itu, Mohd Syawalluddin Bujang, 32, berkata tujuan utama beliau dan rakan-rakannya melakukan aktiviti panjat tebing di sini selain mempunyai minat yang mendalam, mereka juga ingin menarik perhatian penggemar aktiviti sukan lasak itu dari luar Sarawak, supaya datang merasai sendiri kelainan yang terdapat di gua ini.

“Ramai pemanjat tebing dari luar negara seperti dari Jerman dan Perancis yang kagum dengan struktur binaan pada stalagmit gua ini dan menyifatkan laluan untuk memanjat juga antara yang mencabar,” katanya semasa ditemu bual Bernama pada Festival Fairy Cave di sini, semalam.

Gua Pari Pari atau juga dikenali sebagai Fairy Cave ini merupakan gua batu kapur terletak di kawasan Krokong, Bau, kira-kira 30 kilometer dari Kuching.

Di gua ini sahaja terdapat beratus laluan bagi pemanjat yang ingin melakukan aktiviti panjat tebing dan setiap laluan berkenaan mempunyai darjah kesukaran yang berbeza-beza.

Menurut Mohd Syawalluddin, darjah kesukaran untuk memanjat tebing di gua ini bermula daripada skala 5 sehingga 13 yang pastinya memberikan pengalaman yang sukar dilupakan bagi mereka yang sukakan cabaran.

“Setiap laluan memanjat yang ada di sini semuanya mempunyai nama orang yang pertama kali merekanya, dan ia kekal sehingga hari ini sebagai penghormatan buat mereka,” katanya.

Sementara itu, dalam keghairahan dan keseronokkan memanjat, Mohd Syawalluddin berkata aspek keselamatan tidak sesekali dipandang remeh oleh kelabnya.

“Semua peralatan untuk memanjat daripada tali, kasut, hook dan helmet, semuannya diselenggara dengan baik dan akan dibuat penilaian sebelum kami memulakan aktiviti,” katanya yang berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan yang banyak membantu beliau dari segi penyediaan peralatan sewaktu diawal pembabitannya dalam sukan lasak ini.

Dalam pada itu, mengikut cerita penduduk kampung di sini, gua ini juga mempunyai ceritanya yang tersendiri yang diwarisi turun temurun.

Menurut orang kampung, penduduk di sini pada masa lalu, banyak melakukan kekejaman terhadap anak-anak kecil dan anak yatim sehingga ‘penghuni’ gua (pari-pari) ini tidak tahan dengan kezaliman manusia, lalu disumpahnya semua penduduk menjadi batu.

Bagaimanapun, tiada bukti sahih yang dapat menyokong kenyataan berkenaan dan ia kekal sebagai cerita legenda Gua Pari Pari.

Gua Pari-Pari ini telah diwartakan sebagai rezab di bawah Perbadanan Perhutanan Sarawak dan dikenakan bayaran RM1 bagi warganegara dan RM5 untuk pelancong asing.

Bagi peminat sukan lasak dan ingin melakukan aktiviti panjat tebing di gua berkenaan, yuran RM50 untuk pakej dua orang sehingga RM200 bagi berkumpulan yang melebihi 10 orang.

Anda juga boleh menghubungi Koperasi Fairy Cave di talian: +60138035516 (Joseph) bagi urusan tempahan dan pembukaan pagar.– BERNAMA