TANJUNG MANIS:  Selain habuan besar RM50,000 untuk pemenang,  keindahan pantai turut mengamit kehadiran lebih 1,000 peserta memancing Shimano International Surfcasting Challenge 2019 , di Pantai Belawai hari ini.

Memulakan cabaran seawal 8.30 pagi dan berpanas  tidak menjadi masalah kepada peserta malah ada yang sanggup datang dari jauh untuk menyertai pertandingan berkenaan.

Wong Ling Tu, 40, dari Bintulu, berkata,  demi minat dia bersama lapan rakan sanggup meredah perjalanan jauh semata-mata untuk datang ke Belawai dan merasai sendiri pengalaman memancing di pantai itu.

“Kami bertolak dari Bintulu pada Sabtu  dan sempat berehat semalaman sebelum memulakan cabaran memancing pagi ini. Walaupun kepenatan, saya puas berpeluang pertama kali memancing di pantai ini. Suasana pantainya memang cukup tenang dan bersih.

“Saya tidak kisah memang atau kalah. Yang penting saya dapat datang ke Belawai dan menikmati keindahan pantainya ,” kata bapa tiga cahaya mata itu.

Len Talif (tengah) bersama tetamu jemputan lain selepas acara pelepasan benih ikan siakap ke perairan umum di pantai Belawai, hari ini.

Ibrahim Busra, 41, dari Miri berkata, penganjuran pertandingan tersebut membuktikan potensi besar pantai Belawai sebagai lokasi pertandingan  seumpama itu.

Katanya, dia begitu teruja untuk datang ke Belawai selepas membaca akhbar dan melihat gambar yang pernah dimuat naik dalam laman sosial Facebook sebelum ini.

“Saya dan rakan-rakan sanggup datang jauh-jauh ke sini bukan hanya untuk memancing tetapi juga meneroka keindahan pantai ini.

“Petang semalam, saya berpeluang menyaksikan keindahan cahaya di langit ketika matahari terbenam.  Memang cukup cantik. Ia menyebabkan saya lupa seketika masalah kerja. Kunjungan saya ke sini kali ini nampaknya tidak sia-sia. Sudah pasti, saya akan datang lagi bersama keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh, Kerajaan Sarawak memperuntukan sebanyak RM3 juta menaik taraf kemudahan di Pantai Belawai bertujuan menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan tersebut.

Len Talif bersama sebahagian peserta Shimano International Surfcasting Challenge 2019 , di Pantai Belawai hari ini.

Katanya, langkah proaktif itu  melibatkan pembinaan pelbagai prasarana untuk kemudahan orang ramai yang berkunjung di pantai berkenaan.

“Pantai Belawai mempunyai potensi besar dalam bidang pelancongan dengan adanya persekitaran yang tenang dan jajaran pantai yang bersih selain beberapa tarikan lain yang menarik di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata, usaha memperelokkan pantai berkenaan memberi manfaat besar kepada penduduk setempat khususnya mereka peniaga kecil.

Malah ujarnya, kehadiran lebih ramai pengunjung bukan sahaja ‘menghidupkan’ suasana pantai tetapi juga membantu merancakkan ekonomi penduduk,” katanya.

“Melalui kemudahan baharu ini, kita menyediakan kemudahan yang lebih selesa kepada pengunjung di samping membuka ruang kepada penduduk tempatan untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

“Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada penganjur atas kejayaan penganjuran Shimano International Surfcasting Challenge 2019 sehingga berjaya menarik kehadiran peserta tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Majlis itu turut diserikan dengan acara pelepasan pelepasan benih ikan siakap ke perairan umum Belawai.

Hadir sama, Pengarah Perikanan Laut Sarawak, Bohari Leng, Pegawai Daerah Tanjung Manis, Udin Bujang,  dan pemimpin masyarakat.