KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak berjaya merampas barangan tanpa cukai berjumlah RM16.290 juta dan menangkap 284 orang hasil tiga operasi yang dijalankan dari Januari hingga Julai tahun ini.

Komander Bridged PGA Sarawak SAC Khaw Kok Chin berkata, tiga operasi yang dijalankan oleh pihaknya ialah Op Awas, Op Batas dan Op Libas.

“Op Libas menyumbang 47 kes dengan nilai rampasan RM15.540 juta apabila 230 individu ditahan setakat ini.

“Op Batas pula sebanyak 24 kes dicatatkan dengan nilai rampasan RM630,022 apabila 47 individu berjaya ditangkap,” katanya pada satu sidang media di sini, semalam.

Tambah Kok Chin, hanya satu kes direkodkan dalam Op Awas setakat ini dengan nilai rampasan RM120,000 dan tujuh individu berjaya ditahan.

Dalam pada itu, beliau mengulas mengenai kejayaan PGA Sarawak pada Jumaat lalu apabila berjaya merampas rokok dan minuman keras pelbagai jenama tanpa cukai bernilai melebihi RM1 juta.

“Pada 26 Julai lalu, kita berjaya merampas rokok tanpa cukai sebanyak 5,790 karton dengan nilai RM970,200 di Kota Sentosa.

“Berikutan itu, kita menahan seorang lelaki berusia 39 tahun selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen sah,” tegasnya.

Katanya, serentak dengan itu, operasi turut dilakukan di Limbang apabila PGA 12 Miri merampas minuman keras pelbagai jenama tanpa cukai bernilai RM172,000.

“Dalam operasi ini, kita menahan seorang wanita berusia 49 tahun apabila turut gagal mengemukakan sebarang dokumen sah.

“Secara keseluruhannya sehingga semalam, jumlah rampasan yang kita lakukan ialah RM16.290 juta,” ujarnya.

Menurut Kok Chin, kedua-dua suspek diserahkan ke balai polis untuk disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Malah katanya, siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengetahui dalang dua kes terbabit.

Beliau turut memberitahu, 45 anggota PGA Sarawak mendapat sijil pengiktirafan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki baru-baru ini.