TANJUNG MANIS : “Alhamdulillah, pertama kali mencuba pancing tepi pantai, pertama kali menang,” kata Mohd Rubaie Md Yusop yang membawa pulang wang tunai RM50,000 apabila berjaya menaikkan ikan pari seberat 12.6 kilogram dalam pertandingan Shimano International Surfcasting Challenge 2019 , di Pantai Belawai hari ini.

Anggota Polis yang bertugas di Sibu ini berkata, hadiah yang diperoleh itu adalah paling lumayan pernah dimenanginya sepanjang mengikuti pertandingan memancing.

“Saya tidak menghadapi mendaratkan pari ini kira-kira 11.30 pagi tadi kerana sudah terbiasa memancing di laut dalam.

“Apa pun saya amat bersyukur mendapat rezeki ini. Saya akan manfaatkannya untuk kegunaan keluarga,” katanya.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh.

Lebih 3,000 kaki joran menyertai pertandingan yang memasuki edisi kelapan di Pantai Belawai itu.

Dalam pada itu, tempat kedua dimenangi Mattew Chen Kok Khium, 55, yang berjaya mendaratkan ikan senangin 4.78 kg manakala ketiga, Mohd Jamil Akbar Abu Bakar dengan pari 3.9 kg.