MIRI: Polis akan mencari mekanisme sesuai bagi penyelesaian terhadap masalah 51,101 saman trafik tertunggak melibatkan warga asing di Sarawak.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata, jumlah saman trafik tertunggak itu adalah dalam tempoh 2008 sehingga Julai 2019 dengan 85 peratus melibatkan warga Brunei dan Indonesia.

“Setakat Julai 2019 juga sebanyak 28,922 saman trafik tertunggak telah diselesaikan,” katanya kepada Bernama.

Alexson berkata, majoriti kesalahan trafik yang dilakukan warga asing ialah memandu melebihi had laju serta meletakkan kereta di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Polis akan meneruskan Operasi Saman Tertunggak Warga Asing (OSTWA) di lokasi sempadan berhampiran dengan ngara jiran untuk membolehkan pesalah trafik terbabit menyelesaikan saman trafik,” katanya.

Beliau berkata, antara mekanisme yang dipertimbangkan ialah mengadakan perbincangan dengan kedua-dua negara terbabit mencari kaedah sesuai memaklumkan kepada pesalah trafik di sana mengenai saman tertunggak di Sarawak.

Menurutnya, punca utama masalah tunggakan saman trafik warga asing di Sarawak ialah kerana polis serta JPJ tidak mempunyai akses maklumat peribadi dan alamat kediaman pemilik kenderaan berdaftar dari negara asing.

“Ini menyebabkan ramai pesalah trafik warga asing memasuki Sarawak tidak menyedari mereka melakukan kesalahan trafik kerana sukar menghantar surat atau notis pemberitahuan saman trafik kepada mereka di negara masing-masing,” katanya.

Bagi saman trafik terhadap warga tempatan, beliau berkata, setakat ini sebanyak 584,511 saman telah dikeluarkan dengan majoriti kesalahan melibatkan memandu melebih had laju.

“Jumlah tertinggi saman ialah di Kuching diikuti Miri, Bintulu dan Sibu,” katanya lagi.