KUCHING: Pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan selagi mereka bertanggungjawab kepada Sarawak di bawah Perlembagaan Persekutuan dan terus menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menegaskan demikian, Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Ahmad Ibrahim berkata  hubungan persahabatan dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah dinyatakan banyak kali oleh pemimpin GPS.

Malah, katanya Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg secara terbuka mengatakan bahawa GPS akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi kebaikan untuk Sarawak dan rakyatnya.

“Kita bukan musuh PH.  Kami akan menghormati dan membalas dengan kebaikan jika kerajaan persekutuan memberi kerjasama yang baik kepada GPS dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau mengutuk tindakan Chong Chieng Jen yang terus membidas kerajaan GPS, dengan menyifatkan pengerusi PH Sarawak itu ketandusan modal untuk berbohong dengan rakyat Sarawak.

Chong pada Majlis Makan Malam PH di sini, semalam mendakwa GPS sebagai tulang belakang kepada gabungan Umno-PAS.

Sehubungan itu, beliau menegaskan GPS mesti dikalahkan dalam pilihan raya negeri yang akan datang supaya ‘pakatan pembangkang’ antara Umno dan PAS tidak akan berjaya.

“Walaupun pakatan Umno-PAS akan memberi ancaman besar kepada PH pada pilihan raya umum akan datang, ia tidak dapat berjaya tanpa bantuan GPS,” katanya.