Seorang pensyarah sains politik universiti awam tempatan memberitahu saya, menjadi penganalisis politik bukan mudah. Dia mengeluh bagaimana netizen mengecam dan menggunakan kata-kata kesat susulan komen yang beliau buat tidak disenangi golongan berkenaan.

Penganalisis politik menggunakan kepakaran, ilmu, kemahiran dan pengalaman, hasil penyelidikan, pembacaan dan tafsirannya untuk menganalisis keadaan politik, keputusan pilihan raya atau trend pengundian, serta isu politik dalam negara, rantau atau dunia.

Sebagai penganalisis politik, katanya, beliau sering dihubungi media, termasuk stesen televisyen untuk memberi komen tentang pelbagai isu politik.

Beliau perlu menjawab soalan media berdasarkan data, fakta dan maklumat sahih. Maklumat berkenaan ditafsir dan dianalisis berdasarkan pemahamannya sebagai penganalisis.

Katanya, dia perlu banyak membuat penyelidikan tentang isu berkaitan, membaca teori politik, memahami isu dengan membaca banyak akhbar dan majalah, serta mengikuti perkembangan politik dengan banyak berbincang bersama-sama ahli politik dan akar umbi.

Dia bukan sahaja bergaul dengan pemimpin dan ahli politik pembangkang, tetapi juga pemimpin politik kerajaan. Hanya dengan itu dia dapat meluaskan ufuk pemikiran dan mempertajam analisisnya. Sedangkan, katanya, netizen hanya perlu menggunakan komputer atau telefon bimbit untuk memberi komen memuaskan ego dan emosi mereka.

Kewibawaan penganalisis politik bukan sekadar diukur dari segi jawapannya yang tidak memihak, tetapi juga profesionalismenya. Jawapan yang objektif, berfakta, dan dan tidak sendeng kepada pihak atau parti politik tertentu disenangi oleh khalayak.

Meramal Keputusan

Tugas penganalisis bukan sekadar meramal keputusan pilihan raya, tetapi memberi tafsiran dan analisis kepada perkembangan politik yang berlaku, termasuk isu semasa politik dan pilihan raya.

Dengan itu, dia dapat membantu memberi pencerahan supaya orang ramai faham isu berkenaan, termasuk implikasi dan kesannya baik terhadap parti politik, tokoh, rakyat atau masa depan negara.

Sering kali dalam politik tidak lebih lagi jika ia membabitkan soal parti, pendirian parti dan ideologi parti. Di sinilah kepintaran penganalisis diuji.

Bagi sesetengah pihak, penganalisis politik tidak pernah betul. Betapa tidak, apabila komen negatif dan tidak setuju tentang parti pemerintah diketengahkan, pemimpin dan penyokongnya membelasah penganalisis politik terbabit.

Namun, pemimpin dan penyokong pembangkang setuju dengan kenyataan dan analisis itu.

Sebaliknya, apabila penganalisis memuji dan menyokong kenyataan atau langkah yang diambil oleh pembangkang, pemimpn pemerintah pula memandang serong terhadap penganalisis itu. Segala-galanya serba tidak kena.

Implikasinya dan maksudnya ialah pihak terbabit hanya senang hati jika dipuji, sebaliknya jika dikritik, mereka menyatakan penganalisis itu mempunyai agenda dan motif tertentu. Baru-baru ini, seorang penganalisis politik diancam dan dikecam gara-gara mengkritik tindakan kerajaan PH menjual aset negara.

Itulah sebabnya, saya nasihatkan kepada penganalisis politik tadi, jangan peduli dengan tuduhan sedemikian. Yang penting, buat

analisis dan kenyataan bersandarkan apa-apa yang difikirkan betul danbaikuntukmasadepannegara.

Tugas kita bukan untuk menyenangkan hati mana-mana pihak atau mengampu kerajaan atau mengkritik pembangkang. Penganalisis yang berwibawa melakukan kritikan dan membuat komen tanpa rasa takut dan gentar.

Selamatkan Negara

Tugas penganalisis sama dengan tugas doktor kesihatan, memberi amaran apakah penyakit dihadapi pesakit, dan bagaimana mengubati penyakit berkenaan dan akhirnya menyelamatkan masyarakat dan negara.

Namun, kata rakan penganalisis politik itu, yang menjadi masalah ialah, ada netizen yang mengeluarkan komen menggunakan kata-kata kesat, label negatif yang menusuk hati dan memberi gambaran hanya mereka yang benar dan tahu tentang sesuatu isu itu.

Ada netizen yang memaki hamun tanpa sebab, malah tanpa memahami pun isu dan latar belakang hal yang diperkatakan. Namun, mereka berlagak pintar dan serba tahu, sedangkan maaf cakap, ada yang membaca tidak sampai 10 buku politik sepanjang hayat mereka.

Kadangkala kita hairan, bagaimana mereka ini sanggup mengeluarkan kata-kata kesat apabila tidak setuju dengan analisis dan pandangan orang lain, termasuk penganalisis politik.

Gambaran Peribadi

Adakah ia menggambarkan peribadi dan watak mereka yang kurang terdidik dan kurang nilai murni walaupun mungkin sahaja mereka lulusan universiti?

Netizen ini melemparkan kemarahan terhadap penganalisis politik bagai mereka dirasuk syaitan dan gajah naik minyak. Kata-kata yang dihamburkan menggambarkan emosi yang tidak terkawal.

Seyogia diingatkan, memang menjadi hak seseorang untuk setuju atau tidak terhadap pandangan orang lain. Bukankah ini demokrasi dan amalan wajar sesuai dengan prinsip kebebasan bersuara?

Perkataan kesat dan kasar begitu mudah dilemparkan tanpa bukti dan alasan yang kukuh. Tentu tindakan sedemikian mengecewakan. Ia mencerminkan keruntuhan akal budi dan peribadi jelek dan bobrok individu berkenaan.

Kebebasan membuat komen di alam maya, bukan lesen untuk mereka menghina, memperlekeh dan melemparkan kata-kata kesat terhadap orang lain.

Kadangkala saya terfikir juga, adakah mereka ini berfikir sebelum mengeluarkan kata-kata, ungkapan, frasa dan ayat mereka?

Atau mereka hanya ingin melampias fikiran tanpa mempedulikan sama ada tepat, betul atau wajar tidaknya bahasa yang digunakan?

Apa hak mereka untuk mencerca orang hanya kerana mereka tidak bersetuju dan tidak puas hati dengan komen yang diberikan?

Anda tidak perlu menggunakan bahasa kesat untuk menyindir, mencaci atau mengkritik orang lain kalaupun anda tidak bersetuju dengan analisis dan pandangan seseorang penganalisis.

• Profesor Madya Dr Jeniri Amir ialah pensyarah dan penganalisis politik di Universiti Malaysia Sarawak.