KUCHING: Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersedia meletakkan calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) yang dijangka diadakan dalam tempoh selewat-lewatnya dua tahun akan datang.

Bagaimanapun, Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata masih belum menetapkan kerusi yang bakal ditandingi mereka, memandangkan rundingan belum dibuat untuk pembahagian kerusi di kalangan parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) Sarawak.

“Saya telah memaklumkan kepada pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen dan perkara ini akan dibawa ke peringkat pusat untuk keputusan bila rundingan kerusi akan dibuat di kalangan parti-parti komponen PH termasuk Bersatu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Perumahan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri merangkap Timbalan Presiden PH berkata Bersatu juga bersedia menerima mana-mana kerusi yang diserahkan untuk ditandingi.

“Kita masih baharu, yang lain sudah ditubuhkan lebih awal.

“Jadi, kami berunding dengan mereka agar mana-mana kerusi yang mereka fikirkan sesuai elok diserahkan kepada kami supaya kami dapat membantu mengukuhkan kedudukan PH di Sarawak baik di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.