SIBU: Sekolah di kawasan Dun Tamin lega selepas wakil rakyatnya Christopher Gira Sambang melaungkan komitmen untuk terus menumpukan kepada keperluan pendidikan di kawasan tersebut.

“Saya akan berusaha sedaya upaya membantu sekolah yang memerlukan di kawasan Dun Tamin demi keselesaan pelajar.

“Sekarang kita sedia maklum bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia mengalami masalah peruntukan yang terhad. Oleh itu saya akan memberikan komitmen tinggi kepada masalah sekolah,” katanya merasmikan Hari Permuakatan SMK Jalan Oya di sini, kelmarin.

Sebagai contohnya, kata Gira, beliau membina Dewan Serbaguna SMK Jalan Oya melalui dana RTP daripadanya sendiri.

Projek dewan tersebut jelasnya, menelan kos RM250,000 yang dilaksanakan tahun lepas dan siap April lalu.

“Lebih banyak lagi sekolah di kawasan Dun Tamin akan memiliki dewan yang sama mengikut keperluan mereka,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, sekolah yang mempunyai kekurangan tertentu boleh mengemukakan permohonan kepadanya.

“Saya sedia membantu jika itu boleh membuatkan pelajar ataupun murid kita belajar dengan se- lesa,” tambahnya.

Seterusnya Gira menggesa ibu bapa dan guru sentiasa memupuk semangat kerjasama yang erat mendidik anak-anak.

Jelasnya, cara sedemikian dapat memastikan kejayaan anak-anak pada masa akan datang. Pada majlis tersebut, beliau memberikan sumbangan mela- lui gerannya sebanyak RM10,000 kepada sekolah berkenaan.

Turut hadir Yang Dipertua PIBG Edwin Maring dan Pengetua Hasmah Fauzi.