LIMBANG: Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah membayangkan Telok Brunei menjadi tempat pertemuan peminat-peminat sukan air dari pelbagai negara satu hari nanti.

Katanya, tempat tersebut bukan sahaja cantik dengan pemandangan laut malahan kedudukannya juga strategik berada di tengah-tengah kawasan utara.

“Perkara ini sudah saya suarakan kepada Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Awang Tengah Ali Hasan.

“Jalan raya tidak lama lagi akan dibina terus menuju ke kawasan tersebut,” katanya semasa merasmikan pertandingan “Remote Boats” Pesta Babulang dan Lumba Kerbau, semalam.

Ujar Hasbi, pembukaan jalan menuju ke Telok Brunei itu buat pertama kalinya masyarakat Limbang akan menikmati kemudahan pantai.

Dalam pada itu, penganjuran kejohanan bot laju kawalan jauh dilihat dapat merapatkan hubungan antara kawasan utara khususnya Limbang dan Brunei Darussalam.

Beliau berkata, penganjuran kejohanan tersebut di pada hari itu mendapat sambutan menggalakkan dari negara jiran.

“Jika acara ini mendapat sambutan hangat, saya merasakan wajar untuk kita teruskan sebagai acara tahunan.

“Saya berharap agar pertandingan ini akan semakin membangun di sini dan menarik lebih ramai peserta,” ujarnya.

Turut hadir, Adun Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Ketua Pemuda PBB Batu Danau Elvis Mathew Bungsu dan Ketua Wanita PBB Batu Danau Roszuina Labet.