KUCHING: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bercadang untuk menubuhkan  enam lagi bahagian baharu di Sarawak dalam masa terdekat, kata Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Beliau berkata, penubuhan enam kerusi ini akan menjadikan keseluruhannya sebanyak 12 bahagian  BERSATU di negeri ini.

“Kita tidak mahu terburu-buru untuk menubuhkan kesemua bahagian di 31 kerusi Parlimen di Sarawak ini kerana BERSATU merupakan parti yang baharu lagi.

“Perkara ini juga telah saya maklumkan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen untuk membincangkan pengagihan kerusi tersebut bagi dibawa ke peringkat nasional untuk dibincangkan bersama parti komponen PH yang lain,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Perumahan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, Jalan Badruddin di sini, semalam.

Ditanya mengenai  kerusi yang akan dipertandingkan pada Pilihan  Raya Negeri (PRN12) yang dijangka  diadakan pada awal tahun 2021, Muhyiddin berkata ia masih lagi dalam perbincangan.

Katanya, setakat ini, penubuhan bahagian BERSATU yang telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) adalah di Santubong, Stampin, Sri Aman, Saratok, Kota Samarahan dan Bintulu.