“BAGINDA pernah membantu kami (Persatuan Bola Sepak Sarawak) menyelesaikan kemelut dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).”

Demikian pengakuan legenda Ngap Sayot, Awang Mayhan Awang Muhamad mengenai keprihatinan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada 1989, FAS menarik diri daripada FAM, ekoran tidak berpuas hati terhadap mutu pengadilan ketika aksi suku akhir Piala Malaysia antara Sarawak dan Kuala Lumpur di Stadium Merdeka. Protes pemain Sarawak di dalam padang melarat hingga ke luar padang… malah turut bertempur dengan unit FRU. Ketika itu, FAS diterajui oleh Allahyarham Tan Sri Hamdan Sirat (presiden) dan Awang Mahyan merupakan ketua jurulatih pasukan Sarawak. Manakala Baginda sebagai Timbalan Presiden FAM.

“Baginda cukup prihatin dengan masalah yang kami hadapi ketika itu,” jelas Mahyan.

“Dengan mengambil kira pandangan Baginda serta pemerhati dan peminat bola sepak Sarawak, maka FAS kembali menyertai semula FAM,” ujarnya.

Menurut Mahyan, sepanjang berada dalam tampuk FAM sebagai Timbalan Presiden (1992-2014) dan sebagai presiden pada 2014, Baginda telah banyak membantu FAM dalam membentuk hala tuju bola sepak Malaysia.

“Baginda merupakan raja yang amat mesra, merendah diri dan berjiwa rakyat,” ujar Mahyan.

Baginda melepaskan jawatan presiden FAM pada 7 September 2015 selepas pasukan Harimau Malaya kalah teruk 10-0 kepada skuad UAE dalam kempen Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia.