BINTANGOR: Polis Meradong terus memperkasa hubungan baik dengan orang awam sebagai satu pendekatan untuk membanteras jenayah di samping mendekatkan diri dengan masyarakat peringkat akar umbi.

Langkah proaktif itu menimbulkan rasa selamat dalam kalangan masyarakat selain menjadi salah satu cara untuk masyarakat menyalurkan maklumat kepada polis berhubung sebarang kegiatan jenayah.

Sejajar dengan hasrat tersebut, Ibu Pejabat Polis Daerah Meradong menganjurkan Program Komuniti Polis Bersama Tuai Rumah di Rumah Kiroh, Sungai Sebatu, Mador, Jalan KJD, di sini, kelmarin.

Program yang bermula 11.30 pagi itu dimeriahkan dengan kehadiran lebih 130 peserta terdiri dalam kalangan tuai rumah, ketua masyarakat dan penduduk sekitar daerah Meradong.

Antara pengisian program ialah ceramah pencegahan jenayah, keselamatan kebakaran dan penerangan mengenai saluran yang boleh dihubungi bagi mendapatkan bantuan selain pameran oleh Skuad Aman Wanita (AMANITA), Cawangan Nakotik Sarikei dan Meradong.

Antara program yang dijalankan.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.46 Meradong, Datuk Ding Koung Hiing, Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superitenden Polis (DSP) Sekam Anoi, Pemanca Daerah Meradong, Agan Luat, Pegawai Jabatan Kesihatan Meradong, Jacky Charles, Wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintangor, Hazman Bakar, Penghulu Abas Banyi, Penghulu Selah Jugi dan Tuai Rumah Kiroh Ungga.

Sehubungan itu, Ding dalam ucapannya berkata, masyarakat memainkan peranan penting sebagai mata dan telinga dalam menyalurkan maklumat jenayah kepada polis.

Program seumpama itu katanya, wajar diperluaskan di rumah panjang lain Meradong bagi mengeratkan hubungan Polis dengan masyarakat.

“Usaha murni ini juga menunjukkan komitmen polis dalam membanteras jenayah dan menjaga keselamatan masyarakat. Ia juga selaras dengan slogan Polis dan masyarakat berpisah tiada,” ujarnya.

Sementara itu, Sekam berkata, Polis mengalu-alukan penyertaan penduduk dalam program Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi memudahkan penyaluran maklumat berhubung kegiatan jenayah.

VSP adalah inovasi baharu oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memudahkan orang awam menyalurkan maklumat atau aduan yang memerlukan bantuan pihak polis.

“Kita juga akan mengadakan program Run Against Crime di IPD Meradong pada 5 Oktober ini dan saya mempelawa penduduk hadir beramai-ramai untuk memeriahkannya,” katanya.

Ding (kiri) diiringi Sekam bersalaman dengan penduduk sebaik tiba pada Program Komuniti Polis di Rumah Kiroh, Sungai Sebatu Mador.