Industri rumbia berkembang

MUKAH: Sarawak meluluskan penubuhan Lembaga Pembangunan Industri Rumbia (LPIR) bagi membangunkan industri tersebut sekali gus meningkatkan pendapatan pekebun-pekebun kecil.

Sehubungan itu, Ketua Menteri Sarawak Abang Johari telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta baru-baru ini untuk pembangunan industri rumbia pada masa hadapan.

Rata-rata penduduk tempatan mengalu-alukan penubuhan Lembaga Pembangunan Industri Rumbia kerana rata-rata pekebun kecil rumbia bergantung dengan komoditi tersebut sebagai sumber ekonomi keluarga.

Pengerusi Persatuan Pekebun Kecil Rumbia Daerah Dalat (PP- KRD) Benedict Pon Akie berkata, sokongan daripada pemimpin telah disuarakan baru-baru ini dan yakin industri rumbia akan berkembang.

“Saya bersyukur kerana wakil rakyat iaitu Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah dengan lantang membawakan perihal tersebut kepada menteri-menteri yang berkenaan.

BENIDICT PON AKIE

“Kalau sebelum ini ia telah juga mendapat perhatian Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah ak Embas dan yang terkini, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada minggu lepas,” katanya.

Beliau berkata, cadangan mewujudkan Mini Eko Park Oya berkonsepkan Community Recreational Area by Riverbank di Oya dan Galeri Industri Rumbia inisiatif Persatuan Pekebun Kecil Rumbia Daerah Dalat bersama CRAUN Reseach Sdn Bhd adalah langkah bijak.

Menurutnya, kedua-dua projek amat bertepatan dengan perkembangan yang berlaku dan diharap akan menjadi kenyataan.

“Saya ingin membuat kesimpulan bahawa pembangunan kedua projek-projek boleh memaparkan warisan dan kehidupan penduduk di daerah ini kepada dunia.

“Tidak dapat dinafikan bahawa Balau (rumbia) adalah sumber yang terpenting bagi kita dari dulu kala sehingga kini dan ia akan dirangkumi pada galeri rumbia kelak.

“Manakala eko park akan mempertontonkan pentingnya sungai sebagai nadi pengangkutan utama dan sumber pendapatan bagi penduduk kita, maka pembinaannya di tebing Batang Oya amat bertepatan,” ujarnya ketika ditemui SV di Dewan Ameniti Kampung Tellian Daya di sini, semalam.

MANUCHIER SMITH

Beliau berkata, pekebun kecil rumbia merupakan penyumbang utama industri sagu atau 90.77 peratus daripada jumlah keluasan tanaman rumbia di negeri ini dan Malaysia amnya.

Tambahnya, ia dipelopori oleh Daerah Dalat sebagai pegeluar tepung sagu terbesar di Sarawak dan Malaysia.

Enam buah kilang sagu di Daerah Dalat menggunakan lebih 230,000 potong rumbia (potongan pendek) yang dibeli daripada pekebun-pekebun kecil dengan harga RM12 sepotong setiap bulan,” katanya.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Bahagian Mukah Manucher Smith, memberitahu, Bahagian Mukah mempunyai keluasan tanaman rumbia terbesar di Sarawak iaitu berjumlah 45,392 hektar (40,642 hektar pekebun kecil/4,750 estet atau mini estet dengan daerah Dalat sahaja (28,169 pekebun kecil/1,250 estet/mini estet).

Katanya, Daerah Mukah mempunyai dua buah kilang sagu manakala di Dalat pula mempunyai enam buah kilang sagu iaitu Nee Seng Ngeng & Sons Sago Industries Sdn.Bhd. , C.L Nee Sago Industries Sdn.Bhd. Song Ngeng Sago Industries (EM) Sdn Bhd. Riverine Sago Resources Sdn Bhd., Ubom Sago Sdn Bhd dan Shimada Sago Chemical.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak