Penagihan syabu paling berleluasa di Sarawak

KUCHING: Syabu menjadi dadah pilihan utama dikalangan penagih sama ada di bandar atau luar bandar Sarawak pada masa ini.

Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, penagihan syabu telah meningkat dengan ketara jika dibandingkan dengan dadah jenis lain.

“Kalau dulu dadah paling popular adalah morfin, heroin, ganja dan sebagainya tetapi sekarang, dadah-dadah ini sudah jarang didengari.

“Tetapi trend penagihan kini beralih kepada syabu di mana penyalahgunaannya sudah menular di bandar dan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Peringkat Sarawak di sini, hari ini.

Karim (duduk, tengah) bersama yang lain merakam gambar selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Peringkat Sarawak di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Datuk Izhar Abu Talib, Setiausaha Persekutuan Sarawak Mohd Shabuddin Omar dan pengarah AADK Sarawak, Wan Madihi Wan Salleh.

Justeru, Karim yang juga pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Sarawak menggesa seluruh masyarakat supaya menggembleng tenaga dengan pihak berkuasa dalam memerangi masalah dadah.

Katanya tanpa usaha bersama semua pihak, gejala penyalahgunaan dadah akan sukar ditangani sekali gus menyumbang kepada masalah jenayah dan sosial.

“Misalnya jika seseorang penagih itu tidak ada duit, dia akan mencuri.

“Oleh itu, masalah dadah ini harus kita tangani bersama,” katanya.

Bagaimanapun, Karim berkata masalah penyalahgunaan dadah di Sarawak tidak begitu serius jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

Katanya seperti tahun lepas, Sarawak pada tahun ini masih menjadi antara yang terendah dalam indeks penyalahgunaan dadah di Malaysia.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak