Perang besar PRN Sarawak – penganalisis

KUCHING: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang dijangka selewat-lewatnya 24 bulan lagi dilihat semakin menarik dengan kehadiran PSB yang dilihat tidak lagi berpihak kepada GPS.

Penganalisis politik, Prof Datuk Dr. Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata, persaingan dan perebutan hebat dari pelbagai penjuru akan berlaku sekali gus menyaksikan perang besar antara calon GPS, PSB serta PH.

“Ini amat menarik untuk diikuti dan dianalisis. Pengaruh dan sokongan terutamanya di kawasan yang berada di bawah cengkaman individu tertentu dalam PSB tidak boleh diketepikan dalam persiapan menghadapi PRN akan datang.

“Ini antara elemen yang boleh dicongak dalam membuat persiapan sewajarnya sebelum PRN,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak semalam.

Soon Koh yang juga Presiden PSB sebelum ini berkata, parti itu akan meletakkan calon di semua kawasan yang telah dikenal pasti tanpa mengira ia kerusi GPS atau tidak.

Malah katanya, tumpuan lebih akan diberikan terhadap kerusi yang ditandingi PRS.

“Kami sudah ada calon, malah di Baleh,” katanya. Bagaimanapun kata Mohd Fadzil, dalam keadaan serba kompleks dan ketidaktentuan dalam senario politik semasa, sebarang kemungkinan boleh berlaku terutama pada saat-saat akhir sebelum sesuatu pilihan raya diadakan. Katanya, dengan perkembangan terkini yang menyaksikan usia layak mengundi diturunkan kepada 18 tahun, ia berkemungkinan boleh memberikan kelebihan dan nafas baharu kepada mana-mana parti politik.

Sementara mengulas peletakan jawatan Soon Koh dalam Kabinet negeri, Mohd Fadzil berkata isu penggantinya tidaklah begitu mendesak sehingga perlu diisi dengan segera.

“Tidak dinafikan ia penting tapi masih boleh dikemudiankan kerana diyakini kekosongan itu tidak akan menimbulkan masalah atau merencatkan segala perancangan dan tindakan yang perlu diambil.

“Sebaiknya Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg perlu diberikan masa untuk menentukan pengganti yang sesuai, selain diberikan ruang untuk meneruskan semua usaha dan inisiatif yang sedang dirancang,” tambahnya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak