Sambutan Hari Sarawak 2019 meriah

BINTULU: Sambutan Hari Sarawak 2019 di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu dekat sini, berlangsung penuh meriah serta semangat patriotik dengan kehadiran kira-kira 10,000 rakyat pelbagai kaum dan peringkat umur untuk bersama-sama memeriahkan acara bersejarah itu.

Sambutan ini cukup signifikan kerana berlangsung di bandar Bintulu yang mencatat mesyuarat pertama Dewan Undangan Negeri selain buat pertama kalinya diraikan di luar bandar Kuching.

Pengunjung mula membanjiri tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu seawal jam 7 pagi dengan penuh semangat mempamerkan rasa cinta kepada negeri Sarawak.

Yang Dipertua Negeri Pehin Sri Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Raghad Kurdi Taib tiba di lokasi sambutan kira-kira jam 9.45 pagi dan disambut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri Datuk Amar Hajah Juma’ani Tuanku Haji Bujang.

Acara sambutan dimulakan sejurus ketibaan Yang Dipertua Negeri Sarawak Pehin Sri Tun Abdul Taib dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Raghad Kurdi Taib dengan nyanyian lagu Ibu Pertiwiku diiringi pancaragam Polis Diraja Malaysia serta persembahan koir Suara Vaie.

Upacara sambutan diteruskan dengan persembahan khas berbentuk dramatari ‘Sayang Sarawak’ yang memaparkan perjalanan sejarah Sarawak dari zaman pemerintahan Rajah Brooke, sehingga bebas dari pemerintahan kolonial British disusuli ucapan alu-aluan daripada Menteri Utiliti merangkap ADUN Kemena yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan Hari Sarawak 2019 Induk disusuli dengan tayangan video aspirasi anak Sarawak sebelum Abang Johari dijemput untuk menyampaikan amanat.

Majlis diteruskan dengan upacara menaikkan bendera Negeri diiringi lagu Ibu Pertiwiku oleh diikuti simbolik perasmian oleh Tun Taib.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Seri Douglas Uggah Embas, Tan Sri Dr James Jemut Masing

Barisan menteri dan Menteri Muda Kabinet negeri; serta ketua-ketua jabatan kerajaan Persekutuan dan negeri juga menghadiri sambutan itu.

Kemeriahan sambutan diteruskan dengan persembahan finale bertemakan Ibu Pertiwiku.

Persembahan istimewa itu menterjemahkan kesatuan, kemuafakatan, serta keharmonian masyarakat negeri ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak