Sarawak menuju ke masa depan yang baik

KUCHING: Sarawak berada pada landasan pembangunan yang betul dengan membawa kehidupan masa depan rakyatnya menuju ke arah yang selaras dengan ekosistem di seluruh dunia.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata walaupun agak perlahan namun Sarawak sekurang-kurangnya bergerak ke arah kemajuan tanpa terasing dengan dunia lain.

Katanya semua ini dicapai hasil inisiatif kerajaan dalam memanfaatkan teknologi untuk memacu pembangunan ekonomi penduduk sama ada di bandar mahu pun luar bandar.

“Walaupun kami mahu meningkatkan taraf kehidupan penduduk luar bandar yang bergantung kepada pertanian tetapi ini perlu dilihat dari perspektif berbeza iaitu menggunakan teknologi untuk meningkatkan produktiviti dan pada masa sama menjana pendapatan yang lebih baik.

“Inilah yang dilakukan kerajaan untuk penduduk luar bandar kami,” katanya berucap pada penutupan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2019 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Pada masa sama, Abang Johari berkata kerajaan Sarawak juga sedang menuju ke arah mewujudkan bandar pintar di Kuching yang dilengkapi dengan teknologi.

“Kini, Kuching selamat tetapi kami mahu memastikan ia masih menjadi bandar yang mesra dan selamat menjelang tahun 2030,” katanya.

Justeru, beliau menyifatkan IDECS telah menjadi platform terbaik bagi Sarawak apabila telah berjaya memberikan input khusus kepada kerajaan untuk merumuskan dasar bagi masa depan.

Katanya ia terutama melibatkan hubungan antara kerajaan dan rakyat serta mewujudkan ekosistem di mana teknologi boleh digunakan untuk memanfaatkan sumber yang ada di negeri ini termasuk membangunkan bakat dan modal intelektual.

“Saya fikir hari ini kami yakin bahawa Sarawak sedang menuju ke arah kemenangan dan bukannya wilayah yang kalah.

“Apabila kami mendapat input-input sebegini, tentunya terdapat keseimbangan di antara luar bandar dan bandar,” katanya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak