Tarik 33,000 pengunjung

KUCHING: Promosi inap desa di Sarawak akan dipertingkatkan agar lebih dikenali ramai selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Datuk Isham Ishak berkata, berlaku penurunan dari segi kedatangan pelancong ke inap desa di Sarawak termasuk penerimaan jumlah pelancong ke negeri ini.

“Bagi tahun 2018 daripada 22 buah inap desa, pengusaha hanya mendapat pendapatan lebih kurang RM25,000 keseluruhan untuk setahun, iaitu seorang pengusaha inap desa ini mereka hanya mendapat pendapatan lebih RM1,000 dan ini tidak memberi pulangan yang tidak mencukupi kepada mereka.

“Dari segi peratusan, penerimaan jumlah pelancong menunjukkan, penurunan sebanyak 8.77 peratus dari tahun 2017 hingga 2018 di Sarawak,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Program Tanggungjawab Sosial Korporat (SCR) di Inap Desa Kampung Darul Islam Belimbing, Padawan semalam.

Beliau berkata, untuk 2017 inap desa di Sarawak menerima lebih 31,000 pengunjung dan 33,000 pada tahun 2018.

“Untuk inap desa di Kampung Darul Islam Belimbing, Padawan menunjukkan penurunan ketara dari jumlah pelancong.

“Difahamkan juga kebanyakan pelancong yang datang ke sini ialah pelajar universiti tempatan dan kurangnya pelancong dari luar negara.

“Oleh itu kita akan berusaha jalankan promosi inap desa ini, kerana kita ketahui kampung ini merupakan salah satu inap desa muslim Bidayuh terbesar di Malaysia.

“Selain dengan adanya keunikan yang ada di sini pelancong dapat menjalankan aktiviti ‘jungle treking’ untuk melihat sendiri bunga itu, aktiviti riadah di sungai, sukan rakyat, belajar tarian tradisional dan banyak lagi aktiviti lain,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan kebanyakan pelancong dari Eropah lebih berminat untuk terlibat dengan aktiviti yang melibatkan penerokaan alam sekitar di Sarawak.

Beliau berkata, inap desa di kampung tersebut perlu dinaiktaraf dari segi infrastruktur.

“Infrastruktur inap desa di kampung ini perlu dinaiktaraf, oleh itu kita meminta ketua kampung agar dapat menulis surat atau kertas kerja kepadanya dalam menyatakan perkara tersebut kepada kita agar kita dapat mencari jalan terbaik dan usaha bagi memperbaiki industri pelancongan di kampung ini.

“Oleh itu, kementerian kita perlu meningkatkan kembali minat orang ramai terutama pelancong untuk melawat ke kampung menerusi inap desa ini,” jelas Isham.

Beliau berharap lebih ramai pelancong dapat menikmati kemudahan pelancongan yang disediakan oleh inap desa berusia 15 tahun ini selaras bagi mencapai objektif kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.d

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak