Tidak semua rumah di Belawai ada gangguan air

TANJUNG MANIS: Tidak semua penduduk mengalami gangguan bekalan air dan masalah itu hanya dialami beberapa rumah di Kampung Belawai dipercayai berpunca tekanan air rendah.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, menegaskan gambaran segelintir pihak yang seolah-olah membayangkan masalah itu dialami seluruh penduduk Belawai tidak berasas sama sekali.

“Kawasan terlibat hanya beberapa buah rumah di Kampung Lot Baru tetapi ditular dalam media sosial, menggambarkan seluruh kampung Belawai tidak ada air.

“Saya ingin menegaskan gambaran itu adalah tidak tepat. Berdasarkan laporan, hanya beberapa rumah sahaja terjejas terutama pada waktu tekanan air rendah.

“Walaupun begitu, kita akan terus berusaha mengatasi masalah ini dengan sebaik mungkin,” katanya.

Satu perjumpaan diadakan baru-baru ini bagi membincangkan masalah berkenaan secara lebih khusus bersama-sama pemimpin masyarakat, wakil JBALB dan NGO di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Tanjung Manis yang turut dihadiri Pegawai Daerah Tanjung Manis, Udin Bujang.

Beliau juga Adun Kuala Rajang menggesa kerjasama semua pihak terutama ketua masyarakat dan ketua kampung menyalurkan maklumat terperinci berhubung masalah itu supaya tindakan susulan dapat dilaksanakan.

“Saya mahu ketua masyarakat memaklumkannya kepada agensi bertanggungjawab jika gangguan bekalan air berlaku di kawasan masing-masing.

“Kita tidak mahu ada pihak tertentu mengambil kesempatan menjadikan isu ini sebagai alat memburukkan kerajaan. Saya menegaskan kerajaan sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian.

“Ini selaras matlamat kita untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat di luar bandar khususnya di Tanjung Manis dan Belawai,” katanya.

Beliau memberitahu, usaha mengantikan saluran paip lama dengan yang baharu kini sedang giat dilakukan.

Ujarnya, projek bernilai RM50 juta dari Bayong Sarikei sehingga ke Tanjung Manis itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun (Mei 2021).

“Projek ini termasuk membina tangki tambahan di Sekumang, Tanjung Manis. Usaha ini dilakukan kerana kebanyakan saluran paip yang digunakan uzur dan mengalami kebocoran.

“Pada masa sama, kerajaan terpaksa menggunakan bekalan dari Bayong Sarikei kerana sumber air bawah tanah tidak mencukupi bagi menampung pembangunan Tanjung Manis,” katanya.

Jelas Len, Kerajaan Sarawak mengambil pendekatan menggunakan bekalan air dari Batang Rajang yang disalurkan dari Sibu.

“Usaha yang mempunyai impak besar dalam tempoh jangka panjang ini dilakukan kerana kerajaan sedar keperluan bekalan air di Tanjung Manis bertambah dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak