KUCHING: Sarawak meratapi pemergian bekas Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Dr Yusoff Hanifah, 82, yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.15 malam kelmarin.

Allahyarham yang sejak dua tahun lalu, bermastautin di New Zealand bersama-sama keluarganya, meninggalkan isteri, Datin Zaleha Abdullah dan dua anak.

Dr Yusoff dilantik sebagai Datuk Bandar Kuching Utara yang pertama setelah Kuching dinaik taraf sebagai sebuah bandar raya pada 1 Ogos 1988.

Allahyarham memulakan kerjayanya sebagai guru di Miri sebelum dinaik pangkat kepada Pegawai Pelajaran Daerah dan akhirnya sebagai Penolong Pengarah Kanan Pelajaran Sarawak pada 1982.

Tugas ini membolehkan Allahyarham mendampingi rakyat, berbincang dari hati ke hati, seterusnya menyelami masalah mereka.

Pada 1983, Dr Yusoff yang berkelulusan Doktor Falsafah dalam jurusan Sosiologi dan Pendidikan kemudian menyertai perkhidmatan awam Sarawak dan dilantik sebagai Residen Sri Aman selama dua tahun.

Pada 1984, Allahyarham dilantik sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Perancangan Sumber dan memegang jawatan tersebut selama empat tahun, sebelum dilantik sebagai Datuk Bandar Kuching Utara.

Dr Yusoff memikul tanggungjawab tersebut selama enam tahun sebelum bersara.

Pun begitu, pada usia persaraannya, Allahyarham masih berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah kepada beberapa organisasi termasuk sebagai Pengerusi Sarawak Forestry Corporation.

Menurut Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Abang Abdul Wahab Abang Julai, Dr Yusoff telah mencipta acuan Kuching sebagai sebuah bandar raya.

“Allahyarham berjaya melaksanakan tugasnya, yang kemudian menjadi ikutan kami di kemudian hari,” tambahnya.