KUCHING: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengadakan pertemuan dengan sekumpulan Ahli Parlimen GPS pada Selasa lalu, akui Pengerusi GPS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, pertemuan itu adalah atas jemputan Perdana Menteri dan ia adalah parkara biasa.

“Mereka hanya mengadakan perbincangan biasa dan ia tidak melibatkan seluruh pimpinan GPS,” katanya kepada media selepas mrasmikan Hari Bandaraya Kuching ke-31 di Dewan Kompleks Islam Sarawak di sini, semalam.

Ujarya, beliau tidak tahu akan intipati perjumpaan tersebut namun ia berlaku selepas menerima jemputan Perdana Menteri.

“Ia bukan kepada GPS sahaja, sebaliknya turut melibatkan parti-parti pembangkang lain,” katanya.

Ketika ditanya sama ada wakil tersebut memberi sokongan kepada Tun Mahathir (untuk kekal sebagai Perdana Menteri), beliau hanya menjawab mungkin.

Pada Selasa, Tun M mengesahkan sekumpulan wakil rakyat pembangkang datang berjumpa dengan beliau dan menyatakan sokongan kepadanya untuk kekal sebagai Perdana Menteri.

Dalam pertemuan itu juga, beliau menyatakan ia adalah perjumpaan biasa dengan wakil rakyat daripada PAS, UMNO dan GPS kerana pembangkang sebelum ini daripada PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sering menyatakan sokongan terhadapnya.