Hampir 57 peratus daripada 7.676 bilion penduduk dunia menjadi pengguna internet.

Daripada jumlah tersebut, 3.484 bilion aktif dalam media sosial.

Menariknya, walaupun capaian internet di Eropah berada pada kedudukan kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat, namun negara di Asia Tenggara dan Asia Timur mencatatkan peratusan tertinggi dalam penggunaan media sosial.

Di Malaysia pula, lebih 80 peratus penduduknya merupakan pengguna internet.

Data yang dikemukakan Hootsuite.We Are Social pada 2019 turut mendedahkan rakyat Malaysia antara paling aftif dalam rangkaian media sosial.

Laman media sosial yang popular ialah YouTube, WhatsApp’s, Facebook dan Instagram.

Selain bersosial menggunakan jaringan internet, rakyat Malaysia juga aktif dalam aktiviti e-dagang. Sebanyak 19.8 juta atau 61 peratus rakyat Malaysia terlibat secara langsung dalam aktiviti ini.

Bagi aktiviti kewangan dalam talian pula, 66 peratus rakyat Malaysia menggunakan perbankan internet.

Hanya di Hujung Jari

Berpandukan data yang dikemukakan di atas, jelas membuktikan bahawa Malaysia kini sedang menuju ke arah ekonomi digital.

Buktinya, urusan pembelian barangan dan perkhidmatan tidak lagi dilakukan di pusat membeli-belah, sebaliknya dilakukan hanya dihujung jari.

Trend ini mungkin sesuatu yang baharu bagi masyarakat Malaysia, namun di barat e-dagang telah lama wujud.

Menurut laporan pasaran yang dikeluarkan ACNielsen, mendapati kebanyakan penduduk Britain memilih Internet sebagai medium berbelanja bagi tujuan pelancongan, membeli gajet atau memohon pinjaman bank, sekali gus menjadi trend terbaru membeli-belah mereka.

Manakala di Malaysia, e-dagang mula berkembang dengan rancak pada 2018 apabila aktitiviti ini menyumbang RM86.5 bilion untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2017 dengan pertumbuhan tahunan pada 12.5 peratus.

Selain itu, Google turut meramalkan sektor e-dagang berkembang lebih cepat menjelang 2015.

Jangkaan ini mungkin ada kebenarannya kerana pada tahun lepas, beberapa platform e-dagang memperlihatkan peningkatan jualan yang begitu memberangsangkan.

Di samping itu, kemunculan pelbagai ‘online market place’ seperti Lazada, 11st Street, Shopee, EZbuy, Qoo10, Nile dan banyak lagi jelas memperlihatkan gaya baharu membeli-belah masyarakat di Malaysia.

Keperluan Pengguna

Justeru, tidak hairan pada hari ini muncul pelbagai aplikasi baharu yang berasaskan e-dagang diciptakan bagi memenuhi keperluan pengguna pada zaman digital.

Di Sarawak, transformasi ke arah ekonomi digital menjadi asas penting dalam pentadbiran Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi mendedahkan rakyat Sarawak dengan kemudahan teknologi kewangan dalam talian.

Aplikasi Sarawak Pay misalnya yang dilancarkan pada 2017, mula diterima baik oleh masyarakat di Sarawak.

Keyakinan pengguna terhadap konsep kewangan baharu ini bukan sahaja selari dengan pelan digital ekonomi Sarawak, tetapi turut memberikan banyak faedah kepada masyarakat luar bandar yang tidak mempunyai akses perbankan.

Di samping itu, peralihan daripada ekonomi konvensional kepada ekonomi digital membuka banyak ruang perniagaan di negeri ini.

Antaranya, perisian Gago Instant Job yang dibangunkan oleh anak Sarawak berjaya menghubungkan orang ramai dengan penyedia perkhidmatan.

Bayaran Berpatutan

Melalui Gago Instant Job juga, pengguna boleh memilih 22 jenis perkhidmatan yang ditawarkan dengan kadar bayaran yang berpatutan.

Buat masa kini, aplikasi ini hanya dapat digunakan di Kuching dan dijangka diperluaskan di seluruh Sarawak.

Selain itu, terdapat satu lagi aplikasi baharu yang kini mula mendapat tempat dalam kalangan wanita khususnya suri rumah tangga di Sarawak.

Aplikasi Timogah yang dibangunkan oleh anak Sarawak mempermudah orang ramai membeli barangan kperluan harian terutamanya bagi baranganbasah mengikut keanjalan waktu tersendiri.

Aplikasi Timogah berfungsi sebagai penghubung, antara pengguna dengan pengeluar produk pertanian tempatan di Sarawak.

Melalui aplikasi ini, pengguna tidak perlu ke pasar untuk mendapatan sayur-sayuran dan ikan segar, cukup sekadar membuat pesanan secara dalam talian.

Seandainya Timogah berupaya memenuhi keperluan pengguna khususnya dari aspek kesegaran dan kebersihan produk, aplikasi ini pasti menjadi pilihan utama pengguna di Sarawak.

Perkembangan sektor e-dagang di Sarawak bukan sekadar membuka jendela ekonomi negeri ini kepada dunia luar.

Lebih penting daripada itu, e-dagang mampu menjadi medium dalam mamasarkan produk tempatan yang ada di Sarawak.

Sehubungan itu, buat warga bumi kenyalang, rebutlah peluang ini untuk berada di pentas global yang lebih luas dan menguntungkan.

• Dilah Tuah ialah Timbalan Dekan dan Pensyarah di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak.