SEBANYAK 48 pasukan termasuk dari negara Brunei dan Singapura menyertai Kejohanan Boling Padang Piala Tan Sri P. Ramlee di Stadium Boling Padang semalam.

Timbalan Presiden Persatuan Boling Padang Sarawak, Poniman Bejok berkata, kejohanan tersebut diadakan semula pada tahun ini selepas berehat selama dua tahun.

“Kejohanan tersebut mencungkil bakat-bakat peserta yang berminat dan juga menjadi platform pihak kami mencari atlet yang bakal mengharumkan nama Sarawak.

“Sebelum Piala Tan Sri P. Ramlee ini diadakan, kita mengadakan satu lagi pertandingan untuk mencari wakil-wakil atlet dalam negeri iaitu pertandingan Dato Seri Ali dan mereka yang dipilih adalah atlet yang mewakili Sarawak di peringkat kebangsaan pada hari ini.’’ katanya.

Menurut Poniman, kejohanan berlangsung selama empat hari dan bermula pada petang semalam sehingga 4 Ogos tahun ini.

“Sebanyak 15 kumpulan dari Sabah, tiga kumpulan dari Singapura, sebuah kumpulan dari Brunei, Sarawak sendiri mempunyai lima kumpulan dan selebihnya adalah dari negeri-negeri lain.

Poniman Bejok

Beliau berkata, tujuan kejohanan diadakan untuk meningkatkan kemahiran dalam permainan ini kerana kebanyakan masyarakat tidak mengetahui kewujudan sukan tersebut.

Kategori pertandingan ialah beregu campuran lelaki dan perempuan berpasangan dan satu kumpulan mempunyai enam ahli.

“Ini merupakan permainan yang menyeronokkan kerana tidak tertumpu kepada fizikal semata-mata namun lebih kepada mental peserta dan strategi mereka untuk memenangi perlawanan.’’ tambahnya.

Poniman berkata, setiap kali Sukma diadakan, kelab Boling Padang Sarawak tidak pernah gagal menghantar wakil negeri ke temasya Sukma.

Pada Sukma yang berlangsung di Perak pads thun lalu, mereka memperolehi empat pingat gangsa.

Beliau berharap agar sukan ini dapat menarik lebih ramai anak muda khususnya lepasan sekolah untuk menceburi diri dalam bidang sukan ini.

Kelab Boling Padang Sarawak memberi fokus golongan pelajar sekolah rendah agar bakat mereka dapat digilap.

Johan bagi pertandingan ini akan membawa pulang piala pusingan Tan Sri P. Ramlee beserta wang tunai sebanyak RM4,000 manakala naib johan membawa pingat dan wang tunai sebanyak RM2,000 sementara tempat ketiga membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000.

Turut hadir dalam pertandingan tersebut adalah Presiden Boling Padang Sabah, Datuk Ladislaus Maluda dan juga Presiden Boling Padang Brunei, Jaman Jamahat.