KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam berkata, Kerajaan Sarawak sedang mengkaji untuk memperkenalkan penggunaan Autonomous Rapid Transit (ART) untuk negeri ini, namun tidak menolak kemungkinan untuk menggunakannya sebagai pengganti kepada cadangan Aliran Transit Ringan (LRT) sebelum ini. Menurutnya, ini kerana penggunaan ART adalah lebih murah berbanding LRT.

“Kos pembinaan ART hanya satu pertiga daripada LRT dan yang paling menarik ia berbentuk hibrid iaitu menggabungkan kereta api dan bas rapid.

Ditemui media selepas merasmikan Hari Bandaraya Kuching ke-31 di Dewan Kompleks Islam Sarawak di sini, Abang Johari memberitahu ART tidak menggunakan trek tetapi menggunakan tayar.

“Ada alat dipasang pada jalan raya dan ia bergerak mengikut tanda tersebut,” jelasnya.

Dalam ucapannya, Abang Johari menjelaskan, setiap gerabak ART boleh memuatkan 80 penumpang, manakala lima gerabak yang digunakan untuk setiap perjalanan mampu membawa 400 penumpang pada satu-satu masa.

“Ia sangat menjimatkan berbanding kenderaan yang sedia ada.

“Kita juga tidak perlu membina jalan lain untuk ART. Sebaliknya kita hanya perlu melebarkan jalan sedia ada,” ujarnya lagi.

Ketua Menteri dan rombongan Kerajaan Saraawak pada minggu lalu berada di bandar Nanchang, China untuk merasai sendiri pengalaman menaiki ART.

ART dilancarkan dua tahun lalu, namun hanya mula digunakan pada Mei tahun lalu di bandar Zhozhou, Hunan.