KUCHING: Persatuan Wanita Untuk Wanita Sarawak (SWWS) meminta Kementerian Dalam Negeri untuk menimbang semula keputusan membubarkan Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan bagi Sarawak.

Presidennya, Margaret Bedus berkata jawatankuasa itu telah terbukti keberkesanannya dalam mengendalikan kes permohonan kewarganegaraan dengan lebih cepat selain lebih menghormati sensitiviti masyarakat etnik dan negeri ini.

Beliau berkata terdapat juga keperluan untuk semua prosedur operasi standard (SOP) menjadi lebih telus, selain prosedur serta keputusan dapat dibincangkan dengan efisien khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman Sarawak.

“Ini memerlukan akses yang lebih baik kepada perkhidmatan kerajaan termasuk jangkauan yang lebih berkesan dan sistematik ke kawasan separa bandar dan luar bandar; latihan kepekaan kepada kakitangan barisan hadapan yang mengendalikan isu pendaftaran dan kerjasama lebih baik antara perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan.

Margaret berkata Sarawak perlu mendapat layanan berbeza daripada negeri lain di Semenanjung kerana kerumitan yang timbul daripada kepelbagaian penduduk.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim memaklumkan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-kanak Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah secara bertulis pada 22 Julai lepas keputusan untuk membubarkan jawatankuasa itu dan kesemua kes di Sarawak diminta dirujuk atau diserahkan semula kepada kementerian untuk tujuan koordinasi.– BERNAMA