SKUAD Sarawak mara ke suku akhir Kejohanan Bola Sepak MAKSAK Kebangsaan 2019 yang berlangsung di Pahang pada 1 hingga 4 Ogos ini.

Mereka akan menentang Kedah pada jam 2.30 petang ini (Sabtu) untuk merebut tiket separuh akhir.

Sarawak muncul juara Kumpulan C dengan dua kemenangan dan sekali seri. Mereka seri 1-1 dengan tuan rumah Pahang, namun menang besar 5-0 ke atas Kelantan, dan mengatasi P. Pinang 3-2.

Sarawak dibarisi empat bekas pemain Sarawak iaitu Aidil Mohamad (penjaga gol), Hafizal Marzuki (tengah), Paul Sambang (penyerang) dan Samsul Napiah (pertahanan).

Sarawak juga diperkuatkan oleh beberapa pemain ternama tempatan seperti Mohd Nor Abu Bakar, Johari Morshidi, Juadjiman Wagino dan Suawdi Kaderi.

Menurut pengurus pasukan, Awang Putrayusrie Awang Redzuan, para pemain telah menunjukkan prestasi yang bagus dan pemain bebas daripada sebarang kecederaan.

“Kita berharap momentum kemenangan akan diteruskan dalam aksi suku akhir menentang Kedah.

“Kita akan cuba sedaya upaya untuk melepasi halangan suku akhir,” jelasnya.

Sasaran Sarawak kali ini ialah mara ke peringkat separuh akhir. Skuad Sarawak dibimbing oleh bekas pemain Sarawak, Firdaus Morshidi.

Sejumlah 17 buah pasukan menyertai kejohanan tersebut. Kumpulan A terdiri daripada Perlis, Kedah, Selangor dan PDRM.

Manakala Kumpulan B ialah Perak, ATM, N. Sembilan dan Melaka. Sarawak pula berada dalam Kumpulan C bersama Pahang, Pulau Pinang dan Kelantan.

Kumpulan D ialah Johor,  Terengganu, Wilayah Persekutuan KL, Penjara dan Sabah.

Lapan pasukan yang berjaya ke suku akhir ialah Sarawak, Kedah, Pahang, Perlis, Perak, Terengganu, Johor dan ATM.