MIRI: Kementerian Kesihatan bersedia mengkaji mekanisme sesuai untuk mempermudahkan pergerakan membawa pesakit merentasi sempadan Malaysia-Brunei, bagi kes-kes yang memerlukan rawatan kecemasan dengan segera.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, isu ini akan dibincangkan bersama dengan Kementerian Dalam Negeri memandangkan ada situasi pesakit yang dari daerah Lawas perlu merentasi sempadan Malaysia-Brunei untuk mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Miri dengan menggunakan jalan darat.

“Saya akan kemukakan isu ini ke mesyuarat kabinet kerana ini melibatkan sudut pentadbiran serta perbincangan dengan kerajaan Malaysia dan Brunei,” katanya dalam sidang media selepas melawat Hospital Miri di sini petang semalam.

Untuk rekod waktu operasi sempadan Malaysia-Brunei bermula dari pukul 6.00 pagi sehingga 12 tengah malam setiap hari.

Beliau berkata ketika ini bagi pesakit dari daerah Lawas yang memerlukan rawatan perubatan segera, sekiranya menggunakan jalan darat untuk dibawa di Hospital Miri perlu melalui lapan pemeriksaan  termasuk pemeriksaan kastam, imigresen dan kuarantin sebelum tiba ke bandaraya Miri.

Sementara itu merujuk kepada pembinaan Hospital Miri yang baharu, Dr Dzulkefly berkata keputusan mengenai tendernya dijangka diketahui pada penghujung tahun 2019.

Sementara itu dalam kenyataan media sempena lawatan di Lawas pada pagi ini, beliau berkata proses tender untuk pembinaan bangunan baharu Hospital Lawas bagi mengantikan hospital sedia ada sudah selesai.

“Projek pembinaan bangunan hospital yang baharu dengan kapasiti 80 katil dijangka siap pada 2023,” katanya sambil menambah lokasi hospital baharu itu terletak bersebelahan Hospital Lawas sekarang.

Beliau berkata, Hospital Lawas yang sedia ada sudah berusia 50 tahun, merupakan hospital daerah tanpa pakar dengan kapasiti 46 buah katil.

Menurutnya lagi, Hospital Lawas yang beroperasi sejak 16 Mei 1969 kini mempunyai 170 kakitangan antaranya termasuk sembilan pegawai perubatan, 34 jururawat dan 22 jururawat masyarakat.

“Bagi kes-kes yang memerlukan perhatian pakar perubatan, pesakit akan dirujuk sama ada ke Hospital Miri,Hospital Limbang atau hospital yang mempunyai pakar di Kota Kinabalu, Sabah,” katanya.