SERIAN: Kemalangan berantai yang melibatkan tiga buah kenderaan menyebabkan salah satunya, Perodua Axia terbakar di Jalan Batu 30, Jalan Kuching-Serian jam 6.48 petang semalam.

Menurut Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, kemalangan tersebut melibatkan tiga buah kenderaan iaitu Toyota Corolla, Perodua Alza dan Perodua Axia.

JBPM Sarawak telah menerima laporan berhubung kejadian pada jam 6.48 petang dan seramai tiga anggota BBP Serian diketuai oleh PBK II, Sim Mun Chai dan dua anggota EMRS dikejarkan ke tempat kejadian.

Dalam operasi tersebut, Komander Operasi melaporkan tiada mangsa yang tersepit dan pihak bomba telah menghantar dua mangsa ke Hospital Umum Sarawak dengan menggunakan Van EMRS.

Mangsa yang dihantar adalah seorang perempuan berumur lingkungan 40-an dan seorang remaja lelaki berumur lingkungan belasan tahun.