KUCHING: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sarawak harus bertanya kepada Selangor dan Pulau Pinang terlebih dahulu, sebelum mendesak pilihan raya dilaksanakan dalam kerajaan tempatan di negeri ini.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Ahmad Ibrahim berkata tindakan seperti itu adalah tidak masuk akal, sekali gus mencerminkan kecetekan berfikir di kalangan pemimpin PH Sarawak.

“Patut tanya PH kenapa Selangor dan Pulau Pinang tidak menjalankan pilihan raya kerajaan tempatan?

“Kenapa pula hendak menekan Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg).

“Tidak ada benda baik yang hendak dibuat pemimpin PH Sarawak ini, hanya tahu bercakap sahaja,” katanya dalam kenyataan, hari ini bagi mengulas kenyataan Ketua Penerangan PKR Sarawak Desmond Kho yang mencabar kerajaan Sarawak untuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan.

Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) turut menyifatkan pemimpin PH Sarawak hanya pandai bercakap tetapi perlahan dalam berfikir.

Katanya mereka seharusnya menunjukkan contoh serta membuktikan kejayaan PKR atau PH dalam melaksanakan semua yang sudah dijanjikan dalam manifesto mereka sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

“PH masih tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) selepas mengambil alih Putrajaya, sedangkan kerajaan Sarawak sejak masa Pehin Sri Adenan Satem (bekas Ketua Menteri) sudah mengiktiraf UEC.

“Malah kerajaan Sarawak juga sudah lama menghapuskan tol manakala kerajaan PH masih belum berbuat demikian walaupun sudah berjanji sebelum PRU14 lalu,” katanya.

Ahmad menambah bukan sahaja gagal menunaikan manifesto, kerajaan PH juga terus membebankan rakyat dengan memperkenalkan cukai-cukai baharu kepada rakyat.

“Dulu mereka berkempen dan berjanji menghapuskan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan). Sekarang apa jadi, mereka memperkenalkan SST, levi ke luar negara dan cukai gula,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan rakyat Sarawak supaya tidak terpengaruh dengan propaganda PH, yang jelas telah mengabaikan pembangunan Sarawak.

“Sejak PH menerajui kerajaan persekutuan, begitu banyak projek mega di Sarawak dibatalkan dan dikecilkan, tetapi projek-projek baharu diluluskan di Pulau Pinang, Kedah dan Selangor,” katanya.