LIMBANG: Penantian Persatuan Kedayan Limbang untuk memiliki premis mereka akhirnya berakhir dengan penyerahan surat kelulusan tanah semalam.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyerahkan surat tersebut kepada Pengerusi Persatuan Kedayan Limbang Haji Sahat Bagol dalam majlis Makan Tahun Perdana yang diadakan di Kampung Bukit Luba, disini.

Tanah seluas 1.64 ekar tersebut, menurut Datuk Amar Awang Tengah membolehkan persatuan memiliki premis mereka dan menyeru persatuan tersebut mengemukakan pelan pembangunan mereka kelak.

Sementara itu, Datuk Amar Awang Tengah mengingatkan masyrakat Kedayan betapa pentingnya komuniti tersebut bersatu dalam memastikan Sarawak dipacu menuju kemajuan.

“Kerajaan GPS bersikap adil kepada semua dan tiada suara dari kaum minoriti yang tidak didengar,”

“Sebagai contoh, kita memiliki menteri dari suku kaum Kedayan di dalam kabinet yang jelas menunjukkan betapa kerajaan negeri memberikan peluang samarata untuk semua bersuara,” tambah Awang Tengah.

“Untuk bergerak bersama, kita memerlukan suara yang senada dan percayalah hanya anak Sarawak yang mampu majukan negeri ini,” tambah beliau.

Selain itu, beliau turut menyeru agar masyarakat mempertahankan budaya masing-masing.

“Sudah menjadi tanggungjawab kita semua untuk mempertahankan nilai budaya kerana ianya merupakan nilai dan identiti kita.

“Semua masyarakat bebas untuk mempertahankannya asalkan tidak melanggar batas ditetapkan oleh agama serta tidak menghalang kemajuan,” katanya.

Beliau pada majlis tersebut turut mengumumkan dana sebanyak RM30,000 kepada persatuan tersebut untuk menganjurkan program mereka.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah isteri beliau Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Menteri Muda Pertanian merangkap ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah ADUN Batu Danau Paulus Palu Ngumbang dan ADUN Lambir Ripin Lamat.